Thursday, August 19, 2010

Tazkirah Ramadhan


Tajuk Buku : Tazkirah Ramadhan
Oleh : Abu Ruwais al-Syubrawi
Kelolaan : Maahad Ad-Da'wah al-Islamiyah
Cetakan : Nabila Publications
Bil. M/Surat : 36


Saya telah selesai membaca buku ini pada tarikh 18 Ogos 2010. Buku yang bertajuk Tazkirah Ramadhan ini membawa tajuk fokus "Ramadhan Bulan al-Quran". Sangat menarik kupasan yang dipersembahkan di dalam buku ini. Sedikit sebanyak memberi semangat pada diri untuk menjadi ahli al-Quran, insyaAllah... Sekadar ingin berkongsi disini, saya akan menyenaraikan tajuk-tajuk kecil yang ada dalam buku ini tanpa menghuraikannya dengan panjang lebar. Rasanya, dengan membaca tajuk sahaja sudah memadai untuk dijadikan tazkirah ringkas.



SUNNAH MENGKHATAMKAN AL-QURAN PADA BULAN RAMADHAN

Firman Allah SWT yang bermaksud:
“(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa ialah) pada bulan Ramadhan yang mana diturunkan al-Quran pada bulan itu. Ia menjadi petunjuk bagi seluruh manusia, menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjelaskan perbezaan antara yang benar dengan yang salah.”
-Surah al-Baqarah :185.



AL-QURAN MAMPU MENGGETARKAN JIWA


Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman(sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama ALLAH(dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, maka bertambahlah iman mereka, dan kepada Tuhan jualah mereka berserah”
Surah al-Anfal :2



SATU HURUF BERSAMAAN SEPULUH PAHALA


Menurut Abdullah Bin Mas’ud r.a, Nabi SAW telah bersabda yang bermaksud:
“ Sesiapa yang membaca satu huruf daripada kitabullah, baginya satu hasanah(kebaikan). Satu kelebihan itu bersamaan sepuluh kali ganda. Aku tidak pernah mengatakan bahawa alif lam min itu satu huruf. Tetapi, alif itu satu huruf, lam itu satu huruf, dan mim itu satu huruf.”
Hadith sohih riwayat al-Tirmizi,al-Darimi, dan selainnya.



BEZA MUKMIN DAN MUNAFIK YANG MEMBACA AL-QURAN


Menurut Abu Musa al-Asy’ari r.a, Nabi SAW telah bersabda yang bermaksud :
“Perumpamaan orang mukmin yang membaca al-Quran seolah-olah seperti buah al-Utrujah. Baunya wangi dan rasanya juga sedap. Perumpamaan orang mukmin yang tidak membaca al-Quran seperti buah kurma. Tidak berbau tetapi rasanya manis. Perumpamaan orang munafik yang membaca al-Quran seperti raihanah. Baunya wangi tetapi rasanya pahit. Manakala munafik yang tidak membaca al-Quran pula seperti hanzolah. Tidak berbau, dan rasanya terlalu pahit.”
-Hadith riwayat al-Bukhari,Muslim,al-Tirmizi,al-Nasaai dan Abu Daud-


*Orang munafik akan rasa gelisah apabila menemui ayat-ayat hukum dan jiwa mereka memberontak dengan apa yang diharamkan oleh Allah. Justeru mereka usaha untuk memutarbelitkan makna al-Quran. Mukmin yang sejati akan melaksanakan segala perinyah Allah dan meninggalkan segala larangan Allah tanpa mempersoalkannya.


TADABBUR AL-QURAN MENAMBAHKAN KETAQWAAN

Allah telah berfirman yang bermaksud:
“Sekiranya Kami turunkan al-Quran ini ke atas sebuah gunung, pasti engkau(Muhammad) akan melihat gunung itu khusyu’ dan terbelah hancur kerana takut kepada Allah. (ingatlah) semua perbandingan ini Kami kemukakan kepada umat manusia supaya mereka memikirkannya.”
Surah al-Hasyr :21



AL-QURAN SUDAH DITINGGALKAN

Menurut Jabir r.a, Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud :
“Al-Quran adalah pemberi syafaat yang amat berguna dan pasti membelanya kelak . Sesiapa meletakkan dia di hadapannya, (sebagai penyuluh jalan) ia akan memimpinnya ke syurga. Manakala sesiapa yang membelakangi al-Quran, ia pasti memimpinnya ke neraka.”
-Hadith riwayat al-baihaqi, al-Tobrani, dan selainnya.



RUMAH SUNYI DARIPADA BACAAN AL-QURAN

Menurut Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud:
“Janganlah engkau jadikan rumah-rumah kamu seperti tanah perkuburan. Sesungguhnya syaitan akan beredar dari rumah yang dibacakan surah al-Baqarah di dalamnya.”
-Hadith riwayat Muslim-


AHLI AL-QURAN BERSAMA NABI SAW


*Cinta al-Quran bermakna cintakan Rasul. Sesiapa yang ingin mendampingi Rasul, dia hendaklah sentiasa mendampingi al-Quran kerana baginda tidak pernah meninggalkan al-Quran dan sentiasa berakhlak dengan apa yang diterangkan oleh al-Quran.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :
“Seseorang itu dibangkitkan bersama orang yang dicintainya.”
-Hadith riwayat al-Bukhari-



BELAJARLAH AL-QURAN

Menurut Uthman Bin Affan r.a, Nabi SAW telah bersabda yang bermaksud :
“Terbaik antara kamu semua ialah orang yang mempelajari al-Quran kemudian mengajarnya kepada orang lain.”
-Hadith riwayat al-Bukhari, Abu Daud, dan al-Tirmizi-



CARA TERBAIK MENUJU KE SYURGA

Menurut Abu Hurairah r.a, Nabi SAW telah bersabda yang bermaksud :
“Sesiapa menempuh jalan yang dipenuhi dengan menuntut ilmu, ALLAH pasti mempermudahkan baginya jalan menuju ke syurga. Tidaklah suatu golongan yang berhimpun di rumah Allah sambil membaca dan mempelajari Kitabullah antara satu sama lain, melainkan Allah pasti menurunkan keterangan buat mereka, menyelubungi kerahmatan, dilindungi oleh para malaikat, dengan sayapnya dan Allah pasti menyebut-nyebut mereka kepada makhluk yang berada disisiNya.”
-Hadith riwayat Muslim dan Abu Daud-



PELAJARI ILMU TAFSIR SEBELUM BERLAKU ZAMAN FITNAH

Menurut Ibnu Abbas r.a, Nabi SAW telah bersabda yang bermaksud :
“Sesiapa mentafsirkan al-Quran menggunakan akalnya, tersedia tempat duduknya di dalam neraka.”
-Hadith Hassan riwayat al-Tirmizi-


*Zaman fitnah yg dimaksudkan ialah zaman di mana orang mula mempertikaikan isi kandungan al-Quran, saling bertelingkah dalam memahami isi kandungannya, dan pelbagai kerosakan lain.


BERUSAHA MENGHAFAZ AL-QURAN

Menurut Abdullah Bin Mas’ud r.a, Nabi SAW telah bersabda yang bermaksud :
“Seburuk-buruk perkara ialah seseorang berkata “Aku telah lupa ayat itu dan ini” sedangkan sebenarnya dia telah dilupakan. Oleh itu, berusaha keraslah untuk mengingati al-Quran kerana ia lebih cepat terlepas lari(lupa) daripada diri kamu berbanding binatang ternakan(terlepas).”
-Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim-


*Imam Syafie r.a pernah mengadu kepada gurunya Imam al-Waqi’mengenai hafazannya yang senakin merosot. Katanya :” Aku telah mengadu kepada waqi’ mengenai hafalanku yang merosot. Lalu dia menasihatkan aku agar meninggalkan maksiat. Dia memberitahuku bahawa ilmu itu cahaya. Sedangkan cahaya Allah tidak akan menunjukkan jalannya kepada ahli maksiat.”


TANPA AL-QURAN JIWA MENJADI KOSONG

DARJAT AHLI AL-QURAN


Menurut Umar al-Khattab r.a, Nabi SAW telah bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah mengangkat segolongan manusia dengan al-Quran dan membinasakan sebahagian yang lain dengannya.”
-Hadith riwayat Muslim-



MEMAKAIKAN MAHKOTA BUAT IBU BAPA

Menurut Sahl bin Mu’az bin Anas al-Juhani r.a, Nabi SAW telah bersabda yang bermaksud:
“Sesiapa membaca al-Quran dan mengamalkan isi kandungannya, dipakaikan kepada ibu bapanya mahkota pada hari kiamat. Cahayanya lebih terang daripada sinaran cahaya matahari jika ia menyinari rumah-rumah kamu di dunia. Oleh itu, adakah kamu masih ragu-ragu dengan apa yang kamu telah amalkan.”
-Hadith riwayat Abu Daud dengan sanad soleh-



AL-QURAN MEMBELA TEMANNYA

Al-Nawas bin Sam’an r.a pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
“Didatangkan pada hari kiamat al-Quran dan ahlinya yang pernah mengamalkan isi kandungannya ketika di dunia, lalu surah al-Baqarah dan Ali-Imran mendahului orang itu lalu membela tuannya di hadapan Allah.”
-Hadith riwayat Muslim-



KECELAKAAN UMAT YANG MEMPERMAINKAN AL-QURAN

Menurut ‘Uqbah bin ‘Amir r.a, Nabi SAW telah bersabda yang bermaksud:
“Kebanyakkan munafik daripada kalangan umatku terdiri daripada orang yang pandai membaca al-Quran.”
-Hadith riwayat Ahmad. Menurut Syu’ib al-Arnaut: Hadis ini bermartabat hasan lighairihi dan sanad hadis ini hasan-


*Munafik yang dimaksudkan ialah golongan yang mempermainkan agama dengan membacakan ayat al-Quran sambil mentakwil dengan makna yang bukan dikehendaki oleh Allah dan Rasul-Nya. Lalu mereka ini menyesatkan orang ramai.

Penutup
Kita sebagai umat nabi Muhammad SAW, sewajarnya mencontohi sunnah baginda serta berusaha untuk menjadikan Ramadhan pada tahun ini dipenuhi dengan bacaan al-Quran. Paling tidak berusahalah untuk mendengar bacaan al-Quran di surau atau di masjid oleh imam, atau di mana sahaja kita berada. Wallahu'alam.





No comments: