Friday, November 8, 2019

Jaddid Hayatak




Tajuk Buku : Jaddid Hayatak ( Perbaharui Hidupmu)
Penulis : Syeikh Muhammad Al-Ghazali
Penerbit : Iman Publications
Mukasurat : 319 


Ulasan : 

Buku ini antara buku motivasi terbaik yang saya pernah baca dan miliki selain daripada buku La Tahzan karangan Dr. Aidh Al-Qarni. Buku ini mengandungi 26 subtopik yang sangat menarik kupasannya. Antara tajuk-tajuk yang terdapat di dalam buku ini ialah : Jangan Abaikan Sesuatu yang Tampak Kecil, Hidup Anda Dibentuk oleh Fikiran Anda, Jangan Mengharap Ucapan Terima Kasih, Spiritual Rasulullah dan banyak lagi tajuk-tajuk yang sangat dekat dengan persoalan kehidupan seorang manusia.
Setiap orang tidak terlepas dari berhadapan dengan masalah dalam hidup. Ada yang jatuh tersungkur, ada yang tenggelam, ada yang menyimpang, ada yang mati jiwanya... Namun sebagai seorang muslim dan mukmin kita mestilah menjadikan ujian dalam kehidupan ini satu medium untuk kita kembali kepada Allah dan mendekatkan diri kepadaNya. Jika jatuh, kita kena usaha bangun semula. Jika lemas, kita kena segera berenang ketepian dan minta bantuan orang lain. Jika menyimpang, kita kena segera berpatah balik dan mencari jalan pulang dan jika hati mati, segeralah meniup semula ruh kehidupan padanya kerana hakikatnya ianya masih berpeluang untuk hidup dengan kehidupan yang indah dan bahagia.
Buku ini sangat sesuai buat insan yang sedang berusaha membina hidup baru atau ingin perbaharui hidupnya agar lebih baik, lebih positif dan lebih terpimpin mengikut acuan Islam. Banyak perkara yang telah mengetuk pintu hati saya setelah membacanya. Saya mencadangkan buku ini dibaca oleh anda yang selalu di dalam kemurungan, tekanan, kegelisahan, ketakutan dan yang sedang mencari kekuatan untuk merubah kehidupan. Selamat Membaca!

Monday, April 4, 2016

Kembara Tetamu Allah





Dengan nama Allah aku menulis. Tulisan ini bukan untuk dipersembahkan pada sesiapa, hanya sekadar ingin menyimpan coretan hidup sebagai diari kenangan untuk diri.

Semua Bermula Dari hati

Tirai 2015 terbuka luas. Aku melangkah memasukinya dengan hati yang kosong. Terasa sempitnya hidup mengulangi rutin yang sama tanpa ada apa2 perubahan dalam hidup. Usia semakin berganjak. Soalan demi persoalan bermain dibibir dan hati orang sekeliling. Pelik dengan statusku yang masih membujang. Demi Allah niat itu sudah bertahun-tahun lamanya tertanam, namun siapa yang boleh melanggari takdir Allah. Dia belum izinkan. Niat dan tekad. Dua perkara ini yang sering aku wujudkan dalam diri untuk mencapai sesuatu impian.. Dua perkara aku niatkan di awal 2015. Aku mesti capai salah satu dari dua perkara... kahwin. Jika tidak berjaya, umrah! Salah satu ini mesti aku capai. Bermulalah episode mengumpul wang. Kedua-duanya memerlukan wang. Kurangkan perbelanjaan peribadi...demi tabung impian.

Jun..Julai..berlalu. Calon masih belum ada. Nampaknya seperti impian pertama tidak dapat direalisasikan. Allah maha mengetahui. Justeru focus dan tumpuanku pada impian kedua...umrah! aku mesti capai. Syarat umrah yang paling menyesakkan dadaku ialah mahram. Aku sanggup pergi seorang diri kalau mahram itu bukan syaratnya. Aku nyatakan hasrat ini pada keluarga dengan sungguh2. Ayahku memberi respon yang baik. Dia menunjukkan minat untuk pergi bersamaku. Katanya dia akan cuba. Sejak itu aku mula memantau keadaan ayah dengan bertanya khabar melalui telefon. September telah berlalu. ayah hanya diam. Emak dan kakak seperti ragu-ragu kemampuan ayahku untuk kesana. kesihatan mahupun kewangan... kedua-duanya menjadi persoalan. Aku tidak mampu menanggung perbelanjaan ayahku... simpananku hanya cukup untuk tambang dan belanja seorang. Ayah sakit gout.. sekejap sakit sekejap sembuh. Akhirnya ibu memujuk agar niat itu ditunda pada tahun yang lain. hanya Allah yang tahu betapa rasa kecewa bila harapan terpaksa dikuburkan.

Niat Yang Ketiga

Aku mencari kekuatan diri. Hidup perlu diteruskan. Lalui setiap kekecewaan dengan redho dan ikhlas. Aku sering melihat gambar kaabah dan masjid nabawi melalui gambar dan youtube. aku mengungkap2kan rasa rindu kepada haramain...biarlah hanya dapat melihat dengan gambar dan video. Aku terfikir dengan duit yang aku tabung bersungguh2 itu. Hampir tujuh ribu. Sedikit pun aku tidak rasa berkeinginan untuk membelanjakan duit itu... lagi disimpan lagi terasa sedih. Maka aku pasangkan niat yang ketiga. Ya Allah sekiranya hujung tahun ini memang aku tidak dapat kedua-duanya... kahwin dan umrah... maka aku akan sedekahkan duit ini sepenuhnya kepada fakir miskin. Sedikit pun aku tidak akan ambil. hanya dengan ini dapat menghilangkan rasa sedih  akan impian yang tak tercapai. Aku mula mengira2 pada siapa duit ini akan ku bedakkan.

Allah Bagi Kejutan

Oktober menyapa. Satu malam aku mendapat panggilan dari kakak. Dia menyoal aku. Adakah aku sudah berhenti berdoa untuk pergi umrah? ya, aku katakana padanya masa sudah singkat dan lewat. Urusan umrah bukan sehari dua.. sedangkan ayah belum ada tanda-tanda dapat pergi. Aku katakan padanya aku telahpun ada perancangan yang ketiga...dan aku sudah lupakan hasrat sebelum ini. kakakku memarahi aku. Katanya kenapa begitu cepat berputus asa. kenapa tidak teruskan berdoa.. tidak ada mustahil sekiranya Allah kehendaki. kenapa begitu cepat berburuk sangka. Aku kaget. hairan kenapa kakakku melontarkan persoalan itu. Dan akhirnya dia memberi tahu tujuan dia menghubungiku. Ada berita gembira yang ingin disampaikan. Insyaallah ayah akan pergi umrah Disember ini bersamaku! Aku terkejut. Bagaimana ayah boleh pergi, sedangkan kewangan belum mencukupi dan sakitnya yang selalu bertandang. Subhanallah! Kakakku menceritakan bahawa kawan-kawan ayahku dalam diam telah merancang untuk menghantar ayahku ke Tanah suci untuk melaksanakan ibadah umrah. Ketika mereka tahu ayahku belum berpeluang untuk pergi, mereka berpakat bersama-sama mengumpul dana untuk membiayai penerbangan dan seluruh perbelanjaan ayah kesana. Kesihatan ayah juga semakin baik. Tiada lagi sakit-sakit. Subhanallah... ayah beruntung mempunyai kawan-kawan yang baik. Mereka diberi oleh Allah rezki yang lebih.. hidup yang mewah...namun berebut2 ingin berbuat amal. Bergenang air mataku mendapat berita itu. Betapa Allah mendengar rintihan hambaNya... Allah seolah-olah memberi hadiah istimewa buatku . Sujud syukur. Terima kasih ya Allah kerana menerima aku sebagai tetamumu. Aku pasti mengambil peluang ini sebaik mungkin untuk membina hidup baru!

cerita-cerita indah dan sedih sepanjang menjadi tetamu Allah.... (to be continue)

Saturday, January 3, 2015

Wajah Yang Kudengar






 

bulan.jpg






Indah dari bulan


Bujur telur, putih kemerahan
Wajah itu digambarkan
Tidak kerinting bergulung
Tidak juga lurus kaku
Ikal beralun
Rambut itu disifatkan
Anak mata hitam pekat
Bulu mata lentik cantik
Mata itu yang dilirik
wajah yang kudengar
Terkenang, terbayang dalam terang
Rupanya hati gelap yang menghalang
rindu, ingat,
mengharap suatu hari
bertemu rapat…
 
ummatmu
dhoif wa faqir ilallah
nisaulkifah
-Bandar Baru Banting-
 
 
  


Friday, October 24, 2014

Hijrahku Di Sini



Terlihat gah kaki-kaki melangkah 
menuju destinasi baru
bersama bait-bait azam tersemat tekad
senyum berbunga merai hijrah
hijrah kalian bersama bahagia 
mengejar cita-cita
aku di sini masih tersadung
dalam lumpur yang likat pekat
destinasiku tidak sejauh pandangan
hijrah aku hanya di sini
untuk mengangkat kaki yang lemah
keluar dari lumpur ini
untuk bangun dari jatuh
untuk senyum dari duka
untuk syukur dari keluh kesah
hijrah aku tidak jauh
hanya disini
mencari "yusra" di sebalik '' 'usri"
berhijrah  agar hati takkan mati
 
 
 
~ nisaul_kifah~
Langkawi


Tuesday, February 11, 2014

Tasbih Kayu



 

tasbih kayu berbunyi lagi

saban waktu menghentak diri

sungguh rancak menari-nari

walau sakit dipetik jari



tasbih kayu masih gagah

walau usia makin memamah

setia melangkah membilang kalimah

zikir rindu pada Allah



tasbih kayu

ciptaanmu unik

sungguh tenteram di kalbu

dapat memeluk dan memandangmu

rerantai tasbih kayu

kaulah sumber inspirasiku

hilangmu tenggelamlah ilhamku





-nisaul_kifah-




Kaya yang bersyukur VS Miskin yang bersabar




Mana lebih utama antara menjadi orang kaya yang besyukur atau orang miskin yang bersabar?
Persoalan ini pernah diajukan pada saya satu ketika dulu dan saya tidak mampu menjawabnya... Sepertinya menjadi miskin lebih baik kerana Rasulullah sendiri mengakui bahawa penghuni syurga ramai dikalangan orang miskin. Sedangkan kaya selalu menyebabkan orang lupa diri... tapi ini hanyalah kata hati yang tidak merujuk kepada persoalan yang sebenar. Maka saya berdiskus dengan sahabat-sahabat untuk cuba mencari jawapan daripada persoalan ini.  Kaya yang bersyukur adalah sesuatu yang baik, dan miskin yang bersabar juga adalah sesuatu yang baik... Maka antara dua yang baik ini yang manakah "lebih" baik..... ye, manusia yg lemah seperti kita ini tidak mampu menghukum sesuatu perkara dengan tepat... tapi saya cuba menimbang persoalan ini melalui timbangan akal dan logik... Bila ditanya kamu ingin kaya atau tidak? secara logik kebiasaannya mnusia yang berakal pastinya ingin menjadi seorang yang kaya... sama ada dia baik atau jahat, tua atau muda, lelaki atau perempuan... bahkan Islam tidak pernah melarang seseorang muslim untuk menjadi kaya. Para sahabat juga ramai yang tergolong dikalangan orang kaya. Kenapa awak memilih untuk kaya? Maka saya memberi jawapan bahawa saya nak jadi kaya sebab saya nak menunaikan Haji, saya nak memberi kesenangan kepada ibu ayah saya, sya nak membantu orang miskin, saya nak dapat pahala bersedekah, saya nak membantu Jemaah Islam, saya nak mendirikan masjid, dan banyak lagi.... maka sebab itulah saya nak kaya. Kalau saya memilih untuk menjadi orang miskin yang bersabar, alas an saya adalah kerana saya ingin menjadi hamba Allah yang memiliki hati yag kuat, dekat diri dengan Allah, senang masuk syurga, tidak menganggu manusia lain, mendapat keredhoaan Allah, tidak perlu bersusah hati dengan harta... lebih banyak ingat akhirat..  Tengok, kedua-duanya baik bukan? kita cari lagi perbezaan... ye.. orang kaya yang bersyukur juga Allah akan redho.. kerana kekayaannya itu telah membiakkan pahalanya berganda-ganda disebabkan kesyukurannya itu.. bersedekah itu syukur, berbakti pada ibu bapa itu syukur, segala nikmat yang kita salurkan pada tempat yang diredhoi Allah itu syukur.... maka kami buat sedikit kesimpulan bahawa... Orang miskin yang bersabar.... dia hanya bersabar untuk dirinya...pahalanya juga untuk dirinya.. syurga juga untuk dirinya, insyaAllah..... namun orang kaya yang bersyukur, pahala sedekah untuk dirinya.. dan amal kebajikan yang dibuat daripada kekayaannya, bukan dia seorang sahaja yang mendapat kebaikan... malah orang lain juga dapat menikmati kekayaannya, malah pahalanya itu boleh berkembang biak bila orang lain menggunakan 'sedekah'nya kearah kebaikan juga...Subhanallah untungnya menjadi orang kaya yang bersyukur... namun ia bukan perkara yang senang... kekayaan adalah satu ujian... berapa ramai orang yang tersungkur dengan kekayaan seperti Qarun... maka dengan itu, miskin yang bersabar adalah lebih baik daripada menjadi orang kaya yang tidak bersyukur... Dengan ini berbalik kepada persoalan diatas.... jika saya diberi pilihan antara dua itu, pastinya saya ingin menjadi orang kaya yang bersyukur....  :-) Kesimpulannya, Alhamdulillah..... 'ala kulli haalin wa ni'mah..

Friday, January 17, 2014

Sekeping Nota dan Setangkai Mawar Harum


sekeping nota dan setangkai mawar harum
tercoret harapan setinggi bintang dilangit
cantik dipandang, belum dapat dirasa
jauh tak terkata...

sekeping nota dan setangkai mawar harum
inginku serahkan padamu
agar engkau tahu aku dalam cuba
untuk beri cinta
untuk rasa cinta
untuk raih cinta 

sekeping nota
dari kertas kuning
kusam dengan noda dan dosa
ditulis dengan dakwat hitam pekat
dilipat rapat tutup segala cacat
yang indah hanya bahasa
pada janji setia
tetap kukirim untuk meraih cinta

setangkai mawar harum
sekian lama telah kupetik
hampir kering merekah
terkena karat mazmumah
mujur ada embun yg merakam kalam ampun
kubiar ia meresap disegenap kelopak
harumnya mawar harapnya kekal
tetap kukirim untuk meraih cinta

sekeping nota dan setangkai mawar harum
dalam lipatan ada harapan
harum baunya kuutus kerinduan
tiada apa-apa
hanya memohon cinta 
hanya memohon cinta 



dari ummatmu yang hina,
nisaul_kifah
Langkawi
12 RabiulAwal 1435 hijrah




Saturday, November 2, 2013

Pasar Jenazah


PASAR JENAZAH

OLEH  : Nisaul Kifah (SHARIFAH KHAIRUNNISA BT SYED MUHAMMAD RAFEII)

            AKU sudah ketiadaan ibu. Yang tinggal hanya ayah dan adik-beradik yang yang lain. Aku tahu jasa ayah sangat besar. Walaupun dia tidak melahirkan, namun dia telah banyak berkorban untuk membesarkan kami sekeluarga. Dia tidak pernah mengeluh menyara hidup kami. Tidak lokek memberi wang dan kasih sayang. Aku bukanlah anak derhaka namun ciri-cirinya sedikit sebanyak menyerlah juga. Dibiar ayah seorang diri menguruskan ikan-ikan dan sayur-sayur di pasar. Sedikitpun tidak pernah aku menjenguk apatah lagi menolong, melainkan dalam keadaan terdesak. Kata-katanya juga sering kubantah.

            “Kenapa hari ini ayah masih belum pulang, sudah terlalu lewat”. Hal ini membuatkan aku sukar untuk lena walaupun berada di atas tilam yang empuk dan mata kian mengantuk. Aku perlu pergi ke pasar itu.


Aku melangkah masuk ke dalam pasar. Kuamati sekeliling bangunan ini. Ya, aku yakin ini adalah pasar yang kutuju namun seperti ada yang tidak kena. Semakin aku melangkah masuk ke perutnya, semakin kuat hingar bingar yang menerjah masuk ke telinga. Lagaknya sedang berjual beli. Namun hatiku mengatakan suasana ini amat pelik. Aku masih tidak dapat melihat barangan yang diperjualkan dek kerana manusia terlalu ramai berkerumun di setiap tempat. Aku terus menapak perlahan-lahan mencari ruang. Biarpun berpusu-pusu, aku tetap teruskan langkah. Aku tertarik untuk ke satu kedai yang nampaknya begitu ramai pelanggan.

"Saya nak beli tiga!".

"Saya nak beli lapan!".

Apa yang mereka rebutkan? Aku bertekad untuk turut menyelit dan mencelah di situ, dan akhirnya mataku berjaya mencuri pandang. Hah, kain kapan! Dadaku berdebar. Pasar apakah ini? Apa yang telah menimpa orang-orang di sini, seperti diluar tabiat. Ya Allah, di dunia manakah kau campakkan aku ini, aku sesat barangkali. Ayah belum aku temui. Aku terus kaku dan hanya mampu memerhati apa yang berlaku. Berbungkus-bungkus kain kapan tersusun dan menimbun, siap diasingkan tiga-tiga helai dan lima-lima helai. Beli satu bungkus bermakna dapat terus tiga lapis. Betul, tiga lapis untuk lelaki dan lima lapis untuk perempuan. Begitu sistematik cara penjualannya. Dalam sempat aku berkira-kira, terdengar suara penjual melaung.

"Maaf, bekalan dah habis, tunggu lagi sejam!"

Fuh, larisnya kain kapan, selaris goreng pisang panas. Bagimana pula dengan ukuran dan saiznya, manusia itu kan berbeza? Ah, bukan mereka itu bodoh! Aku membiarkan persoalanku tanpa jawapan kerana aku yakin, sudah pasti ada caranya. Aku beredar dari situ kerana aku tiada hajat untuk membelinya. Mulutku terlalu berat untuk memuntah persoalan-persoalan difikiran. Aku hanya memerhati. Ya, ini suasana pasar! Kenapa boleh jadi begini? Aku bingung. Aku merewang-rewang disekitar pasar tertutup itu tanpa arah. Ya, ini bukan pasar biasa, ini pasar untuk orang mati. Ini pasar jenazah! Satu konklusi terpacul di benak hatiku sementelah pandanganku tertancap pada satu kedai. Kedai yang dipenuhi dengan keranda. Namun hanya seorang dua sahaja pelanggan yang berkunjung  di situ, tidak seramai pelanggan kain kapan. Langkah kuatur. Penjual keranda begitu ramah menegur.

“Adik, cari keranda? Kalau tidak mahu beli sekalipun, kami ada sediakan perkhidmatan untuk menyewa.” Terangnya sambil mengukir senyum.

“Tak mengapa Pakcik, saya mahu lihat-lihat dahulu.”

Wajah penjual itu berkerut, mungkin hairan dengan jawapanku. Namun, apa yang harus aku katakan lagi, sudah aku tersesat di sini, aku tiada hajat untuk membeli semua itu.


Aku terus merewang-rewang, mencari-cari jika ada wajah yang aku kenali, namun hampa. Pasar ini terlalu besar. Manusia penuh berasak-asakan, terlalu riuh dan ripuh. Aku lemas. Tiba-tiba rasa bahu ditepuk, lantas aku berpaling. Ya Allah! Tersirap darahku apabila sekumpulan manusia sedang memerhatikan diriku, lantas masing-masing memalingkan muka ke satu arah di bahagian atas. Pandanganku mengekori pandangan mereka. Ada skrin besar yang sedang merakam gelagatku. Kenapa aku? Kenapa tidak orang lain? Aku tidak mampu bersuara namun riak wajah sudah cukup menggambarkan keadaanku yang cemas dan bingung.

“Adik, skrin itu akan memaparkan individu-individu yang beperwatakan aneh dan asing. Skrin itu juga telah membantu kami menangkap pencuri-pencuri kain kapan di sini.”

Barulah aku faham. Gerak-geriku meninjau-ninjau sudah pasti seakan ingin mencuri. Aku harus membela diri. Setelah aku menyatakan aku tersesat, mata-mata yang memandang tadi tidak lagi menatap wajahku. Cukup mereka tahu aku bukan pencuri kain kapan, lantas jual beli rancak semula. 


Seorang pengawal mencadangkan aku untuk ke kaunter pertanyaan.

“Saya Faqih. Saya tersesat di sini dan saya baru mengenali tempat ini. Boleh tolong jelaskan serba sedikit mengenai tempat ini?”

Aku memuntah persoalan setelah lama berdiam diri.

“Pasar ini namanya Pasar Jenazah.”

Terbeliak mataku mendengarnya. Begitu tepat sangkaanku.

“ Dinamakan Pasar Jenazah kerana kami telah menyediakan segala kelengkapan untuk jenazah seperti kain kapan, kapas, kain untuk mayat lelaki, baju dan telekung untuk mayat wanita, daun bidara, kapur barus,setanggi, keranda, dan banyak lagi. Kami juga menyediakan kursus pengurusan jenazah bagi mereka yang berminat.” 

Wah, sungguh hebat tempat ini. Aku melihat pamplet yang dihulurkan. Penerangan mengenai kursus pengurusan jenazah. Lima fardu kifayah yang perlu ditunaikan ke atas jenazah akan diajar secara terperinci sekali. Memandikan mayat, mengapankan, menyembahyangkan, mengusung jenazah ke kubur, dan mengebumikan. Baru aku tahu ini adalah fardu kifayah, bermakna ianya akan jadi wajib sekiranya tida siapa yang menguruskan. Aku jahil tentang ini semua. Tiba-tiba perasaan malu menyelimutiku. Aku seorang muslim, namun masih jahil tentang ini semua. Yang aku tahu cuma kain kapan dan keranda. Rupanya banyak lagi keperluan untuk jenazah. Kapur barus, air bidara, apa semua itu? Aku gagahkan diri  untuk melontar soalan yang seterusnya. Biar malu asal tidak jahil. 

“Boleh saya tahu, apa itu kapur barus dan apa kegunaannya ya?”

Riak wajah pemuda itu kelihatan tenang dan berminat untuk memberi penerangan. Memang patut dia bekerja di sini. Aku paling tidak suka penjaga kaunter yang suka menengking dan memperlekeh pelanggan.

“Baiklah, kapur barus ini diperolehi daripada pokok Dryobalanops Aromatic. Air kapur barus kebiasaannya digunakan ketika memandikan jenazah. Disunatkan mandian ketiga dan terakhir dengan air kapur barus atau wangi-wangian.”


Sedang kami rancak berbual, tiba-tiba suasana jadi gamat. Cemas. Semua pelanggan Pasar Jenazah meluru ke pintu utama. Gelagat mereka tidak lebih seperti sang rakyat menyambut sultan. Berpusu-pusu untuk melihat. Aku mencuri intai di lubang dinding pasar. Suasana yang menghiasi pandangan membuatkan degupan jantungku kencang. Ada sebuah lori besar tersadai di perkarangan pasar. Satu persatu mayat dikeluarkan dari perut lori. Ramainya orang mati. Aku kaget.

“Tanah runtuh yang dahsyat di sebuah perumahan tadi. Mungkin mayat-mayat ini akan diurus di sini.” Bicara seorang lelaki itu telah menjawab persoalanku.


Telingaku tertancap pada bunyi-bunyi yang memilukan. Ada tangis, ada sendu. Kelihatan orang ramai berlari-lari menerpa kearah jenazah-jenazah tersebut. Mungkin yang terkorban itu adalah ahli keluarga mereka. Mataku liar merenung jenazah-jenazah itu, manalah tahu kalau ada wajah yang kukenali.

“Faqih!”

Ada suara yang memanggil namaku lantas aku menoleh ke arah suara itu. Sekelip mata wajah-wajah  yang kukenali berada dibelakangku. Suram. Mata-mata mereka kelihatan berkaca dan ada esak kedengaran. Sekujur tubuh diusung. Aku meluru mendapatkannya. “Ayah!”

 
Astaghfirullah!” Aku membuka mata dan terus bangun. Kaki yang sedang melunjur terasa kebas. Rupanya aku bermimpi. Terasa kebasahan di kelopak mata. Aku benar-benar menangis barangkali. Jam sudahpun menunjukkan pukul tiga pagi. Sebuah majalah yang aku baca lewat malam tadi masih terbuka. Aku tersentak dengan tajuk yang terpampang pada muka surat yang terbuka. “Setiap Manusia Akan Merasai Mati.” Satu artikel yang belum sempat aku baca, tetapi mimpiku telah mendahuluinya. Ah, ini pastinya satu kebetulan. Aku berkira-kira. Mata masih mengantuk. Aku teringat pada ayah. Baru aku sedar, hari ini ayah tidur di rumah kakak, patutlah tidak pulang-pulang ke rumah. Aku lihat-lihat telefon bimbit. Rupanya ada masej yang yang aku terima belum dibaca. Entah bila diterima aku tidak sedar. Ibu jariku segera menekan butang telefon bimbit. Dari Abang Long. “Ketahuilah, Orang yang paling cerdik itu adalah mereka yang mengingati mati.” Telefon bimbitku tercampak dari tangan. Adakah ini juga satu kebetulan? Pesanan ini tidak membenarkan aku untuk terus lena. Dunia begitu sepi membuatkan aku rasa begitu seram. Debaran di dada cuba kukawal. Oh Tuhan, sudah hampirkah ajalku? Kenapa bertalu-talu peringatan datang kepadaku? Mataku mula meliar ke setiap penjuru bilik. Entahkan malaikat maut sudah ada disebelahku. Oh Tuhan, aku tidak mahu mati lagi! Jerit hatiku bersama linangan air mata. Moga ada kesempatan untukku menjadi anak yang taat dan soleh. Moga ada kesempatan untukku bertaubat!

~nisaul_kifah ~
Wisma Darul Ridzuan, Kaherah 2009
  

Sunday, February 5, 2012

Kubah Hijau


Kubah hijau
menjadi kerinduan
Bilakah kita kan bertentang mata
ada ruh  mulia
ada jasad  penuh cinta
kubah hijau, hanya mampu kutatap
dari kepingan-kepingan gambar
dari catan-catan lukisan
layakkah aku
mengharap jumpa dalam lena
sudikah dia menatap aku penuh dosa
rindu untuk bertemu
tapi malu
bukti cinta belum terkota
adakah salamku tiba di telinganya
adakah hadiahku sudah diterima
atau sia-sia belaka
aku menjemputmu hadir
ke teratak usang kalbuku
ke teratak usang jiwaku
walau kutahu
tidak layak untuk insan semuliamu
menziarahi seorang aku yang penuh noda dosa
kutetap merinduimu
dan kerinduan ini
mengajakku mengintai dirimu
pada wajah kubah hijau
...


 nisaul_kifah
 ~Langkawi~
12.31 am (12 Rabi'ul Awal 1433H)

Monday, June 13, 2011

Hati Yang Dicincang


Hati yang dicincang
luka berdarah, terhiris, pedih
tetapi ia memang untuk dicincang
tiada pilihan untuk kupilih
ia tetap datang
keperitan luka itu manis
buat hati yang diserah pasrah
keperitan luka itu pahit
buat hati yang ditatang, dibelai
aku memilih untuk menyerah
lantas hati itu dipersembahkan
merasai segala rasa
ditores,dicincang, dirobek
perit tak terkata, memerah air mata
episod demi episod hati diremuk
namun senyum tetap terukir dibibir
lidah tetap basah bermadah
dalam doa dan harapan
agar kesakitan ini berakhir
dengan penuh bunga-bunga cinta
dari pemilik hati yang Maha Mengerti

-nisaul_kifah-
~Langkawi~


Tuesday, March 29, 2011

Berita Gembira



Alhamdulillah semalam dapat mesej dari Ukhti Khairunnisa Khusaini mengatakan kumpulan nasyid sekolahnya mendapat johan kelompok! Aku hampir lupa mengenainya... tambah pulak sibuk mengurus emosi yang kurang stabil di tempat baru... Aku sangat gembira mendengar khabar ini kerana kedua-dua lirik lagu yang dibawa di dalam pertandingan itu adalah hasil ilhamku. Teringat saat-saat aku diminta menyumbang lirik nasyid. Ketika itu aku seorang penganggur...menghabiskan masa dengan seisi rumah, bermesra dengan dapur, dengan laman, dengan rak-rak buku.. dan yang paling sukar untuk dilupai 'bermesra' dengan seorang insan tua lagi uzur di pembaringannya... keletihan membuatku tiada daya mencari ilham dan ide. aku tiada mood. Namun tak sanggup mengecewakan permintaan seorang sahabat. Rayuannya membuatku serba salah...tidak sanggup mengatakan tidak. Aku sudah punya azam untuk tidak mengecewakan harapan dan permintaan orang selagi aku terdaya melakukannya. Sesiapa sahaja. Kerana aku juga mengharap perkara yang sama dari orang, maka akulah yang perlu melakukannya dahulu. Kucapai pen dan kertas. Berkali-kali kumemerah akal fikiran, namun tak terdaya. Tidak dapat tidur malam memikirkan tempoh semakin hampir untukku serah. Moga tidak mengecewakan. Lewat doa, kuluah pada-Nya agar aku tidak mengecewakan seorang insan yang sedang berharap. Alhamdulillah, dipenghujung waktu, berjaya kulakarkan sebuah tulisan hati yang kuambil jauuuh dari dalam kalbu. Namun ada perasaan kecewa kerana dari nilaianku, tulisan itu sepertinya kurang nilai, kurang puitisnya dan kurang indahnya. Namun hari ini aku sangat bersyukur apabila aku betul-betul dapat memenuhi sebuah pengharapan... Ya, bagiku mereka mendapat johan bukanlah kerana lirik yang kucipta, tetapi adalah kerana usaha mereka yang gigih membuat latihan, dan rentak yang mereka bawa sudah tentu menarik... Apapun, aku hanya menumpang gembira... terlintas dalam fikiran, bagaimanalah agaknya rentak yang mereka dendangkan? Ingin kucoret ilham itu disini sebagai tanda kenang-kenangan walaupun hakikatnya, ada yg telah diubah suai oleh mereka serba sedikit....


Akidah Kukuh Syakhsiah Terpuji

Lembaran wahyu seribu rahsia

Menjadi panduan semua manusia

Terjemahkanlah hidup dengan ajaranNya

Mukmin sejati cita-cita tinggi

Akidah kukuh syaksiah terpuji


Di dunia ini kita diciptakan

Untuk beribadah kepada Tuhan

Melalui wahyu kita dikhabarkan

Orang yang bertaqwa syurga dijanjikan


Ayuh lihatlah insan mithali

Akhlak mulia menghiasi diri

Indah tutur kata menyentuh hati

Cekal membina generasi rabbani

Rasul yang mulia syakhsiah terpuji

Contoh terulung untuk diikuti


Taatilah Tuhan, ikutilah nabi

sesama insan hormat-menghormati

anak yang berbakti penyejuk hati

menjadi insan soleh hidup diberkati

Rukun Islam


Mukmin sejati insan bertakwa

Pengabdian diri kepada Allah

Seluruh hidup, jiwa dan harta

Rukun Islam yang lima kita laksana


Mengucap dua kalimah syahadah

Allah itu Esa Muhammad pesuruhNya

Patrikan ia di dalam dada

Penyaksian agung seorang hamba


Ayuh kita bina tiang agama

Solat lima waktu sehari semalam

Tunaikan zakat bagi yang berharta

Agar yang berhak dapat menerimanya


Berpuasa pada bulan Ramadhan

Menahan nafsu jauhi larangan

Pasti melahirkan rasa keinsafan

Bentuk peribadi tingkat ketakwaan


Mengerjakan haji di baitullah

Di tanah suci Makkah Mukarramah

Di tempat barakah kita beribadah

Moga rahmatNya mencurah-curah.


Wednesday, March 16, 2011

Nasihat Dari Sahabat



Seorang manusia perlu selalu mendengar nasihat, peringatan, dan motivasi kerana manusia itu Allah ciptakan bersifat pelupa... Teringat zaman sekolah dulu... KISAS adalah tempat yang paling banyak saya mendengar nasihat2 dan peringatan... setiap kali selepas asar, subuh, dan sebelum tidur...betapa benar ianya bumi tarbiah. Saya rindukan zaman pengajian di mana susah senang dulu ada sahabat disisi... saling kuat menguatkan... Alhamdulillah, hari ini saya dapat berbual dengan seorang sahabat yang banyak memberi motivasi dan kata-kata peransang untuk saya jadi insan yang kuat dalam menghadapi kehidupan yang bakal mendatang... Dalam banyak-banyak perbicaraannya, saya berminat untuk memetik satu perumpamaan yang pastinya saya akan sematkan kemas-kemas di dalam hati... erm lebih kurang macamni bunyinya...
" Jangan jadi seperti sarang tebuan, bila dijolok, tebuan-tebuannya akan menyerang dan menyengat si penjolok. Tapi jadilah seperti pohon yang berbuah... bila dijolok, akan menjatuhkan buah-buah yang enak untuk si penjolok..."
ish..nape rasa cam xsedap je ayat ni...dah tak ingat ayat yg sebenarnya. Yang pastinya saya dapat simpulkan kat sini, nak jadi seperti pokok yang berbuah kena ada dalam diri kesabaran yang kuat....tanpa ada sabar bisa saja kita berubah menjadi seperti sarang tebuan...wal'iyazubillah.... Dan sekiranya kita mencari redho manusia, sampai bila-bila pasti kita tak temuinya...jadi carilah redho Allah, kerana ianya pasti!



Dan sahabat saya yg lain pernah mengatakan, orang yang suka berbuat baik dengan orang, mudah untuk mendapat doa dari orang... dan seperti yg kita tahu, antara doa yang dimakbulkan ialah doa seseorang kepada orang lain yang tidak diketahui oleh orang yang didoakannya.



Terima kasih buat sahabat atas mutiara-mutiara yg sangat bernilai buat diri yang sangat dhoif ini....