Thursday, August 5, 2010

Pengemis Jalanan





Ini kisah benar. Kisah pengalaman diri merenung kehidupan pengemis-pengemis jalanan yang menyentuh hati. Pengalaman ini pasti ramai yang pernah mengalaminya. Namun bagiku episod hidupku kali ini sedikit sebanyak mampu membantu diriku untuk memdidik hati, akal, dan perasaan supaya menjadi manusia yang “sedar diri”.
Di bumi Mesir terdapat ramai pengemis di jalanan berbanding Malaysia. Dari usia kanak-kanak hinggalah orang tua berbongkok tiga. Dimana-mana sahaja terdapat. Ditepi jalan, di dalam bas, di kaki lima. Aku pernah dikejar oleh seorang kanak-kanak lelaki berusia dalam lingkungan 4tahun. Berpakaian compang camping dan berkaki ayam. Tidak cukupkah wang yg didapati saban hari. Haruskah aku memberinya saban waktu. Bagaimanakah jika setiap hari aku melalui jalan itu. Adakah hari-hari aku harus menghulurkan untuk menyelamatkan diri dari dikejar? Dunia kadangkala menguasai hati membuatkan aku terlalu berkira dengan harta yang bukan mutlak milikku. Harta yang cuma diberi pinjam oleh Allah. Aku pernah membenci kanak-kanak itu kerana dia menyembur air dari mulutnya ke arahku membuatkan pakaianku kotor. Ini berlaku gara-gara aku tidak memberinya wang. Namun apalah kanak-kanak sebesar itu mengerti, yang pasti dia terdesak! Mungkin terdesak dengan perintah ibunya…atau dengan apa sekalipun. Satu petang aku melewati jalan itu lagi. Kanak-kanak itu terlalu girang nampaknya. Kedua-dua tangannya memegang ‘aish yang dilihat begitu lazat. Siapalah agaknya yang belikan.. Dia makan dengan begitu lahap sambil berjalan dan tiba
-tiba… kakinya terlanggar seketul batu membuatkan 'aish yang ditangannya tercampak ke tengah jalan. Sayur-sayur yang berada di dlam 'aish itu juga ada yang terkeluar. Seorang lelaki muda membantu kanak-kanak itu untuk berdiri semula. Kanak-kanak itu menguis lututnya yang sedikit luka. Setelah itu dia memandang ke arah 'aish tadi yang pastinya sudah tercemar dengan debu-debu jalan. Serta-merta dia berlari ke arah makanan itu dan mengambilnya semula. Aku lihat tangannya begitu erat memegang aish itu kembali dan meniup-niup untuk menghilangkan debu pada roti itu. Lalu dia meneruskan perjalanan dengan langkah yang longlai sambil menikmati semula roti itu. Inilah pemandangan yang betul-betul membuatkan aku rasa tertampar. Akulah manusia yang paling sombong dan bakhil… bakhil dengan rezeki yang dipinjamkan dan bakhil daripada mengucap syukur!

Peristiwa itu berlaku di kota Kaherah. Di desa Mansurah tempatku menuntut ilmu juga apa kurangnya... Ada pengalaman yang Allah berikan padaku untukku jadikan i'tibar. Dua kisah inginku coretkan. Kisah pertama mengenai seorang nenek tua yang sering duduk di kaki lima deretan kedai yang usang. Saban hari nenek itu memakai pakain bewarna hitam yang agak lusuh. Wajahnya kedut seribu. Pandangannya yang layu betul-betul menusuk kalbu. Hatiku tidak tega tubuh yang lemah itu lesu dibahu jalan menadah tangan meminta-minta belas ihsan dari setiap orang yang lalu. Dia duduk betul-betul di lorong laluanku ke kuliah. Namun kadang-kadang dia wujud, kadang-kadang tiada. Bila tiada, pasti aku terfikir, sakitkah dia hari ini? Suatu pagi yang hening… dari jauh aku sudah terlihat kelibatnya. Kuselup poket dengan segera mencari-cari jika ada duit. Sedikit hampa, yang ada hanya LE0.25 (20sen). Ketika langkahku semakin hampir dengannya, dia terus menadah tangan kepadaku yang langkahku belum pun lagi tiba disisinya sambil mulutnya berkata…”sayangku, semoga Allah memberikan kamu kejayaan…” suaranya sedikit ketar memandangkan usianya yang terlalu tua. Matanya tepat memandangku dengan penuh harapan. Betapa mulianya pengemis ini, bersungguh-sungguh mengharap Allah memberi balasan kepada orang yang memberi sedekah kepadanya. Walhal belum tentu lagi orang yang lalu disitu menghulurkan.. Itulah yang aku dengar setiap kali melintasi kelibatnya walaupun aku tidak menghulurkannya apa-apa, doanya tetap kudengar sampailah jarakku jauh dengannya. Dia seolah-olah menjual doanya dengan nilai maksimun 20sen. Sedangkan bagiku doa yang tulus itu tidak ternilai dengan wang… terlalu mahal! Jauh di disudut hatiku menjerit, “Nenek, jangan dengarkan doa itu ditelinga saya!”


Kisah kedua ini mengisahkan seorang pakcik yang kukira kewujudannya agak misteri. Dia suka duduk di kaki lima berhampiraan lorong rumahku. Syari’ Furn..Dia sehelai sepinggang dan hanya duduk memerhatikan kelibat-kelibat manusia yang lalu lalang di depannya. Aku tidak pernah melihatnya berborak-borak dengan orang sekeliling apatah lagi untuk bergelak ketawa. Namun adakalnya dia suka bertukar-tukar tempat duduk. Aku pernah terjumpa dia duduk di satu lorong yang jauh dari lorong rumahku. Namun seperti biasa dia hanya duduk memerhatikan orang-orang yang lalu lalang. Memang pelik. Nak kata pengemis , sekali pun tak pernah aku lihat dia meminta sedekah. Dia pernah mengejutkan aku hingga jantungku sedikit berdebar, ketika mana aku ke pasar , aku dapati dia duduk di tempat biasa berdekatan dengan rumahku. Sekembalinya aku dari pasar, aku menggunakan jalan yang lain, dan aku sangat-sangat terkejut bila terpandang wajahnya duduk berteleku disitu. Renungan matanya agak tajam memerhatikan orang membuatkan aku takut untuk bertentang mata dengannya.
Pada suatu pagi, dia beralih tempat lagi. Kali ini dia duduk dilorong rumah Nora, rakan sekuliahku. Kebetulan aku ingin kerumah Nora. Kali ini dia duduk di tempat yang ceruk, melindungi diri dari terik panas barangkali. Wajahnya pucat. Tubuhnya tersandar di dinding bangunan manakala tangannya memeluk tubuh. Aku dapat rasakan bahawa dia seolah-olah sedang menahan lapar… Tubuhnya kelihatan tersangat lemah. Aku terus melangkah ke rumah Nora sambil memikirkan hal Pakcik tadi. Kalau betul dia tengah lapar, kenapa dia tidak meminta seperti peminta-peminta sedekah yang lain. Kenapa hanya membisu dan memerhati orang yang lalu. Beberapa jam berlalu. Aku melangkah pulang dari rumah Nora. Dari jauh kulihat kelibat Pakcik itu masih duduk disitu. Aku bertekad untuk menghulurkannya sedikit wang walaupun hakikatnya aku takut. Takut sekiranya dia menolak atau menghalau, atau menjerkah aku. Suara orang Arab, cakap sikit pun orang keliling boleh dengar. Malu aku nanti. Langkahku semakin dekat menghampirinya. Dalam tangan sudah tersedia duit kertas bewarna hijau. Moga-moga cukup untuk menampungnya selama beberapa hari. Aku berhenti betul-betul di depannya. Jelas wajahnya tidak bermaya. Aku menghulurkan wang itu sedang hati berdebar. Dia merenung tepat pada mataku lalu mengambil duit itu dan tak semena-mena dia mengangkat kedua belah tangannya seperti kelakuan seorang rakyat ketika menghadap Sultan sambil mulutnya mengungkap “syukran, syukran, syukran ya bintiy.. syukran!” kepalanya mengangguk-angguk sambil menghadiahkan sebuah senyuman kepadaku. Kelihatan matanya sedikit berkaca. Aku betul-betul terkejut dengan kelakuannya.. aku hanya membalas anggukan tersebut dan menghadiahkan padanya senyuman yang telah lama aku simpan untuknya. Lantas aku bergegas melangkah pulang sebelum ada mata-mata yang melihat kejadian itu. Selepas kejadian itu aku sering memikirkan Pakcik tersebut. Kenapa dia tidak meminta sedekah sedangkan hakikatnya dia sangat memerlukan? Pakcik, mungkinkah pekrtimu dan peribadimu sama seperti orang-orang muhajirin yang telah Allah sebutkan dalam surah al-Baqarah ayat 273? Pakcik, sungguh mulia peribadimu!

Adik, Nenek, Pakcik, ingatkah kalian bahawa Rasulullah saw pernah menyaksikan bahawa di dalam syurga ramai dari kalangan kalian yang bertaqwa? Syaratnya Taqwa.. Aku mendoakan kalian diantara mereka... semoga penderitaan kalian disini mendapat balasan nikmat di sana....Aku? Aku juga sang pengmis yang mengharap doa-doa dari kalian, moga ada tempat untukku bersama-sama kalian di sana...



Aku pengemis jalanan
Singgah bermukim di perkampungan fana’

Menyelusuri lorong-lorong hidup

Menuju destinasi kekal

Kumerewang diperjalanan ini
Mengemis pahala dan keampunan
Mengemis doa dari insan

Agar dapat kujadikan bekal di sana

Buat bayaran mahar sebuah syurga

Atau tebusan sebuah neraka

Moga rahmat-Nya kuterima.

nisaul_kifah

1 comment:

Super_Samurai said...

suka dengan cerita ni...:)