Friday, October 24, 2014

Hijrahku Di Sini



Terlihat gah kaki-kaki melangkah 
menuju destinasi baru
bersama bait-bait azam tersemat tekad
senyum berbunga merai hijrah
hijrah kalian bersama bahagia 
mengejar cita-cita
aku di sini masih tersadung
dalam lumpur yang likat pekat
destinasiku tidak sejauh pandangan
hijrah aku hanya di sini
untuk mengangkat kaki yang lemah
keluar dari lumpur ini
untuk bangun dari jatuh
untuk senyum dari duka
untuk syukur dari keluh kesah
hijrah aku tidak jauh
hanya disini
mencari "yusra" di sebalik '' 'usri"
berhijrah  agar hati takkan mati
 
 
 
~ nisaul_kifah~
Langkawi


Tuesday, February 11, 2014

Tasbih Kayu



 

tasbih kayu berbunyi lagi

saban waktu menghentak diri

sungguh rancak menari-nari

walau sakit dipetik jari



tasbih kayu masih gagah

walau usia makin memamah

setia melangkah membilang kalimah

zikir rindu pada Allah



tasbih kayu

ciptaanmu unik

sungguh tenteram di kalbu

dapat memeluk dan memandangmu

rerantai tasbih kayu

kaulah sumber inspirasiku

hilangmu tenggelamlah ilhamku





-nisaul_kifah-




Kaya yang bersyukur VS Miskin yang bersabar




Mana lebih utama antara menjadi orang kaya yang besyukur atau orang miskin yang bersabar?
Persoalan ini pernah diajukan pada saya satu ketika dulu dan saya tidak mampu menjawabnya... Sepertinya menjadi miskin lebih baik kerana Rasulullah sendiri mengakui bahawa penghuni syurga ramai dikalangan orang miskin. Sedangkan kaya selalu menyebabkan orang lupa diri... tapi ini hanyalah kata hati yang tidak merujuk kepada persoalan yang sebenar. Maka saya berdiskus dengan sahabat-sahabat untuk cuba mencari jawapan daripada persoalan ini.  Kaya yang bersyukur adalah sesuatu yang baik, dan miskin yang bersabar juga adalah sesuatu yang baik... Maka antara dua yang baik ini yang manakah "lebih" baik..... ye, manusia yg lemah seperti kita ini tidak mampu menghukum sesuatu perkara dengan tepat... tapi saya cuba menimbang persoalan ini melalui timbangan akal dan logik... Bila ditanya kamu ingin kaya atau tidak? secara logik kebiasaannya mnusia yang berakal pastinya ingin menjadi seorang yang kaya... sama ada dia baik atau jahat, tua atau muda, lelaki atau perempuan... bahkan Islam tidak pernah melarang seseorang muslim untuk menjadi kaya. Para sahabat juga ramai yang tergolong dikalangan orang kaya. Kenapa awak memilih untuk kaya? Maka saya memberi jawapan bahawa saya nak jadi kaya sebab saya nak menunaikan Haji, saya nak memberi kesenangan kepada ibu ayah saya, sya nak membantu orang miskin, saya nak dapat pahala bersedekah, saya nak membantu Jemaah Islam, saya nak mendirikan masjid, dan banyak lagi.... maka sebab itulah saya nak kaya. Kalau saya memilih untuk menjadi orang miskin yang bersabar, alas an saya adalah kerana saya ingin menjadi hamba Allah yang memiliki hati yag kuat, dekat diri dengan Allah, senang masuk syurga, tidak menganggu manusia lain, mendapat keredhoaan Allah, tidak perlu bersusah hati dengan harta... lebih banyak ingat akhirat..  Tengok, kedua-duanya baik bukan? kita cari lagi perbezaan... ye.. orang kaya yang bersyukur juga Allah akan redho.. kerana kekayaannya itu telah membiakkan pahalanya berganda-ganda disebabkan kesyukurannya itu.. bersedekah itu syukur, berbakti pada ibu bapa itu syukur, segala nikmat yang kita salurkan pada tempat yang diredhoi Allah itu syukur.... maka kami buat sedikit kesimpulan bahawa... Orang miskin yang bersabar.... dia hanya bersabar untuk dirinya...pahalanya juga untuk dirinya.. syurga juga untuk dirinya, insyaAllah..... namun orang kaya yang bersyukur, pahala sedekah untuk dirinya.. dan amal kebajikan yang dibuat daripada kekayaannya, bukan dia seorang sahaja yang mendapat kebaikan... malah orang lain juga dapat menikmati kekayaannya, malah pahalanya itu boleh berkembang biak bila orang lain menggunakan 'sedekah'nya kearah kebaikan juga...Subhanallah untungnya menjadi orang kaya yang bersyukur... namun ia bukan perkara yang senang... kekayaan adalah satu ujian... berapa ramai orang yang tersungkur dengan kekayaan seperti Qarun... maka dengan itu, miskin yang bersabar adalah lebih baik daripada menjadi orang kaya yang tidak bersyukur... Dengan ini berbalik kepada persoalan diatas.... jika saya diberi pilihan antara dua itu, pastinya saya ingin menjadi orang kaya yang bersyukur....  :-) Kesimpulannya, Alhamdulillah..... 'ala kulli haalin wa ni'mah..

Friday, January 17, 2014

Sekeping Nota dan Setangkai Mawar Harum


sekeping nota dan setangkai mawar harum
tercoret harapan setinggi bintang dilangit
cantik dipandang, belum dapat dirasa
jauh tak terkata...

sekeping nota dan setangkai mawar harum
inginku serahkan padamu
agar engkau tahu aku dalam cuba
untuk beri cinta
untuk rasa cinta
untuk raih cinta 

sekeping nota
dari kertas kuning
kusam dengan noda dan dosa
ditulis dengan dakwat hitam pekat
dilipat rapat tutup segala cacat
yang indah hanya bahasa
pada janji setia
tetap kukirim untuk meraih cinta

setangkai mawar harum
sekian lama telah kupetik
hampir kering merekah
terkena karat mazmumah
mujur ada embun yg merakam kalam ampun
kubiar ia meresap disegenap kelopak
harumnya mawar harapnya kekal
tetap kukirim untuk meraih cinta

sekeping nota dan setangkai mawar harum
dalam lipatan ada harapan
harum baunya kuutus kerinduan
tiada apa-apa
hanya memohon cinta 
hanya memohon cinta 



dari ummatmu yang hina,
nisaul_kifah
Langkawi
12 RabiulAwal 1435 hijrah




Saturday, November 2, 2013

Pasar Jenazah


PASAR JENAZAH

OLEH  : Nisaul Kifah (SHARIFAH KHAIRUNNISA BT SYED MUHAMMAD RAFEII)

            AKU sudah ketiadaan ibu. Yang tinggal hanya ayah dan adik-beradik yang yang lain. Aku tahu jasa ayah sangat besar. Walaupun dia tidak melahirkan, namun dia telah banyak berkorban untuk membesarkan kami sekeluarga. Dia tidak pernah mengeluh menyara hidup kami. Tidak lokek memberi wang dan kasih sayang. Aku bukanlah anak derhaka namun ciri-cirinya sedikit sebanyak menyerlah juga. Dibiar ayah seorang diri menguruskan ikan-ikan dan sayur-sayur di pasar. Sedikitpun tidak pernah aku menjenguk apatah lagi menolong, melainkan dalam keadaan terdesak. Kata-katanya juga sering kubantah.

            “Kenapa hari ini ayah masih belum pulang, sudah terlalu lewat”. Hal ini membuatkan aku sukar untuk lena walaupun berada di atas tilam yang empuk dan mata kian mengantuk. Aku perlu pergi ke pasar itu.


Aku melangkah masuk ke dalam pasar. Kuamati sekeliling bangunan ini. Ya, aku yakin ini adalah pasar yang kutuju namun seperti ada yang tidak kena. Semakin aku melangkah masuk ke perutnya, semakin kuat hingar bingar yang menerjah masuk ke telinga. Lagaknya sedang berjual beli. Namun hatiku mengatakan suasana ini amat pelik. Aku masih tidak dapat melihat barangan yang diperjualkan dek kerana manusia terlalu ramai berkerumun di setiap tempat. Aku terus menapak perlahan-lahan mencari ruang. Biarpun berpusu-pusu, aku tetap teruskan langkah. Aku tertarik untuk ke satu kedai yang nampaknya begitu ramai pelanggan.

"Saya nak beli tiga!".

"Saya nak beli lapan!".

Apa yang mereka rebutkan? Aku bertekad untuk turut menyelit dan mencelah di situ, dan akhirnya mataku berjaya mencuri pandang. Hah, kain kapan! Dadaku berdebar. Pasar apakah ini? Apa yang telah menimpa orang-orang di sini, seperti diluar tabiat. Ya Allah, di dunia manakah kau campakkan aku ini, aku sesat barangkali. Ayah belum aku temui. Aku terus kaku dan hanya mampu memerhati apa yang berlaku. Berbungkus-bungkus kain kapan tersusun dan menimbun, siap diasingkan tiga-tiga helai dan lima-lima helai. Beli satu bungkus bermakna dapat terus tiga lapis. Betul, tiga lapis untuk lelaki dan lima lapis untuk perempuan. Begitu sistematik cara penjualannya. Dalam sempat aku berkira-kira, terdengar suara penjual melaung.

"Maaf, bekalan dah habis, tunggu lagi sejam!"

Fuh, larisnya kain kapan, selaris goreng pisang panas. Bagimana pula dengan ukuran dan saiznya, manusia itu kan berbeza? Ah, bukan mereka itu bodoh! Aku membiarkan persoalanku tanpa jawapan kerana aku yakin, sudah pasti ada caranya. Aku beredar dari situ kerana aku tiada hajat untuk membelinya. Mulutku terlalu berat untuk memuntah persoalan-persoalan difikiran. Aku hanya memerhati. Ya, ini suasana pasar! Kenapa boleh jadi begini? Aku bingung. Aku merewang-rewang disekitar pasar tertutup itu tanpa arah. Ya, ini bukan pasar biasa, ini pasar untuk orang mati. Ini pasar jenazah! Satu konklusi terpacul di benak hatiku sementelah pandanganku tertancap pada satu kedai. Kedai yang dipenuhi dengan keranda. Namun hanya seorang dua sahaja pelanggan yang berkunjung  di situ, tidak seramai pelanggan kain kapan. Langkah kuatur. Penjual keranda begitu ramah menegur.

“Adik, cari keranda? Kalau tidak mahu beli sekalipun, kami ada sediakan perkhidmatan untuk menyewa.” Terangnya sambil mengukir senyum.

“Tak mengapa Pakcik, saya mahu lihat-lihat dahulu.”

Wajah penjual itu berkerut, mungkin hairan dengan jawapanku. Namun, apa yang harus aku katakan lagi, sudah aku tersesat di sini, aku tiada hajat untuk membeli semua itu.


Aku terus merewang-rewang, mencari-cari jika ada wajah yang aku kenali, namun hampa. Pasar ini terlalu besar. Manusia penuh berasak-asakan, terlalu riuh dan ripuh. Aku lemas. Tiba-tiba rasa bahu ditepuk, lantas aku berpaling. Ya Allah! Tersirap darahku apabila sekumpulan manusia sedang memerhatikan diriku, lantas masing-masing memalingkan muka ke satu arah di bahagian atas. Pandanganku mengekori pandangan mereka. Ada skrin besar yang sedang merakam gelagatku. Kenapa aku? Kenapa tidak orang lain? Aku tidak mampu bersuara namun riak wajah sudah cukup menggambarkan keadaanku yang cemas dan bingung.

“Adik, skrin itu akan memaparkan individu-individu yang beperwatakan aneh dan asing. Skrin itu juga telah membantu kami menangkap pencuri-pencuri kain kapan di sini.”

Barulah aku faham. Gerak-geriku meninjau-ninjau sudah pasti seakan ingin mencuri. Aku harus membela diri. Setelah aku menyatakan aku tersesat, mata-mata yang memandang tadi tidak lagi menatap wajahku. Cukup mereka tahu aku bukan pencuri kain kapan, lantas jual beli rancak semula. 


Seorang pengawal mencadangkan aku untuk ke kaunter pertanyaan.

“Saya Faqih. Saya tersesat di sini dan saya baru mengenali tempat ini. Boleh tolong jelaskan serba sedikit mengenai tempat ini?”

Aku memuntah persoalan setelah lama berdiam diri.

“Pasar ini namanya Pasar Jenazah.”

Terbeliak mataku mendengarnya. Begitu tepat sangkaanku.

“ Dinamakan Pasar Jenazah kerana kami telah menyediakan segala kelengkapan untuk jenazah seperti kain kapan, kapas, kain untuk mayat lelaki, baju dan telekung untuk mayat wanita, daun bidara, kapur barus,setanggi, keranda, dan banyak lagi. Kami juga menyediakan kursus pengurusan jenazah bagi mereka yang berminat.” 

Wah, sungguh hebat tempat ini. Aku melihat pamplet yang dihulurkan. Penerangan mengenai kursus pengurusan jenazah. Lima fardu kifayah yang perlu ditunaikan ke atas jenazah akan diajar secara terperinci sekali. Memandikan mayat, mengapankan, menyembahyangkan, mengusung jenazah ke kubur, dan mengebumikan. Baru aku tahu ini adalah fardu kifayah, bermakna ianya akan jadi wajib sekiranya tida siapa yang menguruskan. Aku jahil tentang ini semua. Tiba-tiba perasaan malu menyelimutiku. Aku seorang muslim, namun masih jahil tentang ini semua. Yang aku tahu cuma kain kapan dan keranda. Rupanya banyak lagi keperluan untuk jenazah. Kapur barus, air bidara, apa semua itu? Aku gagahkan diri  untuk melontar soalan yang seterusnya. Biar malu asal tidak jahil. 

“Boleh saya tahu, apa itu kapur barus dan apa kegunaannya ya?”

Riak wajah pemuda itu kelihatan tenang dan berminat untuk memberi penerangan. Memang patut dia bekerja di sini. Aku paling tidak suka penjaga kaunter yang suka menengking dan memperlekeh pelanggan.

“Baiklah, kapur barus ini diperolehi daripada pokok Dryobalanops Aromatic. Air kapur barus kebiasaannya digunakan ketika memandikan jenazah. Disunatkan mandian ketiga dan terakhir dengan air kapur barus atau wangi-wangian.”


Sedang kami rancak berbual, tiba-tiba suasana jadi gamat. Cemas. Semua pelanggan Pasar Jenazah meluru ke pintu utama. Gelagat mereka tidak lebih seperti sang rakyat menyambut sultan. Berpusu-pusu untuk melihat. Aku mencuri intai di lubang dinding pasar. Suasana yang menghiasi pandangan membuatkan degupan jantungku kencang. Ada sebuah lori besar tersadai di perkarangan pasar. Satu persatu mayat dikeluarkan dari perut lori. Ramainya orang mati. Aku kaget.

“Tanah runtuh yang dahsyat di sebuah perumahan tadi. Mungkin mayat-mayat ini akan diurus di sini.” Bicara seorang lelaki itu telah menjawab persoalanku.


Telingaku tertancap pada bunyi-bunyi yang memilukan. Ada tangis, ada sendu. Kelihatan orang ramai berlari-lari menerpa kearah jenazah-jenazah tersebut. Mungkin yang terkorban itu adalah ahli keluarga mereka. Mataku liar merenung jenazah-jenazah itu, manalah tahu kalau ada wajah yang kukenali.

“Faqih!”

Ada suara yang memanggil namaku lantas aku menoleh ke arah suara itu. Sekelip mata wajah-wajah  yang kukenali berada dibelakangku. Suram. Mata-mata mereka kelihatan berkaca dan ada esak kedengaran. Sekujur tubuh diusung. Aku meluru mendapatkannya. “Ayah!”

 
Astaghfirullah!” Aku membuka mata dan terus bangun. Kaki yang sedang melunjur terasa kebas. Rupanya aku bermimpi. Terasa kebasahan di kelopak mata. Aku benar-benar menangis barangkali. Jam sudahpun menunjukkan pukul tiga pagi. Sebuah majalah yang aku baca lewat malam tadi masih terbuka. Aku tersentak dengan tajuk yang terpampang pada muka surat yang terbuka. “Setiap Manusia Akan Merasai Mati.” Satu artikel yang belum sempat aku baca, tetapi mimpiku telah mendahuluinya. Ah, ini pastinya satu kebetulan. Aku berkira-kira. Mata masih mengantuk. Aku teringat pada ayah. Baru aku sedar, hari ini ayah tidur di rumah kakak, patutlah tidak pulang-pulang ke rumah. Aku lihat-lihat telefon bimbit. Rupanya ada masej yang yang aku terima belum dibaca. Entah bila diterima aku tidak sedar. Ibu jariku segera menekan butang telefon bimbit. Dari Abang Long. “Ketahuilah, Orang yang paling cerdik itu adalah mereka yang mengingati mati.” Telefon bimbitku tercampak dari tangan. Adakah ini juga satu kebetulan? Pesanan ini tidak membenarkan aku untuk terus lena. Dunia begitu sepi membuatkan aku rasa begitu seram. Debaran di dada cuba kukawal. Oh Tuhan, sudah hampirkah ajalku? Kenapa bertalu-talu peringatan datang kepadaku? Mataku mula meliar ke setiap penjuru bilik. Entahkan malaikat maut sudah ada disebelahku. Oh Tuhan, aku tidak mahu mati lagi! Jerit hatiku bersama linangan air mata. Moga ada kesempatan untukku menjadi anak yang taat dan soleh. Moga ada kesempatan untukku bertaubat!

~nisaul_kifah ~
Wisma Darul Ridzuan, Kaherah 2009
  

Sunday, February 5, 2012

Kubah Hijau


Kubah hijau
menjadi kerinduan
Bilakah kita kan bertentang mata
ada ruh  mulia
ada jasad  penuh cinta
kubah hijau, hanya mampu kutatap
dari kepingan-kepingan gambar
dari catan-catan lukisan
layakkah aku
mengharap jumpa dalam lena
sudikah dia menatap aku penuh dosa
rindu untuk bertemu
tapi malu
bukti cinta belum terkota
adakah salamku tiba di telinganya
adakah hadiahku sudah diterima
atau sia-sia belaka
aku menjemputmu hadir
ke teratak usang kalbuku
ke teratak usang jiwaku
walau kutahu
tidak layak untuk insan semuliamu
menziarahi seorang aku yang penuh noda dosa
kutetap merinduimu
dan kerinduan ini
mengajakku mengintai dirimu
pada wajah kubah hijau
...


 nisaul_kifah
 ~Langkawi~
12.31 am (12 Rabi'ul Awal 1433H)

Monday, June 13, 2011

Hati Yang Dicincang


Hati yang dicincang
luka berdarah, terhiris, pedih
tetapi ia memang untuk dicincang
tiada pilihan untuk kupilih
ia tetap datang
keperitan luka itu manis
buat hati yang diserah pasrah
keperitan luka itu pahit
buat hati yang ditatang, dibelai
aku memilih untuk menyerah
lantas hati itu dipersembahkan
merasai segala rasa
ditores,dicincang, dirobek
perit tak terkata, memerah air mata
episod demi episod hati diremuk
namun senyum tetap terukir dibibir
lidah tetap basah bermadah
dalam doa dan harapan
agar kesakitan ini berakhir
dengan penuh bunga-bunga cinta
dari pemilik hati yang Maha Mengerti

-nisaul_kifah-
~Langkawi~


Tuesday, March 29, 2011

Berita Gembira



Alhamdulillah semalam dapat mesej dari Ukhti Khairunnisa Khusaini mengatakan kumpulan nasyid sekolahnya mendapat johan kelompok! Aku hampir lupa mengenainya... tambah pulak sibuk mengurus emosi yang kurang stabil di tempat baru... Aku sangat gembira mendengar khabar ini kerana kedua-dua lirik lagu yang dibawa di dalam pertandingan itu adalah hasil ilhamku. Teringat saat-saat aku diminta menyumbang lirik nasyid. Ketika itu aku seorang penganggur...menghabiskan masa dengan seisi rumah, bermesra dengan dapur, dengan laman, dengan rak-rak buku.. dan yang paling sukar untuk dilupai 'bermesra' dengan seorang insan tua lagi uzur di pembaringannya... keletihan membuatku tiada daya mencari ilham dan ide. aku tiada mood. Namun tak sanggup mengecewakan permintaan seorang sahabat. Rayuannya membuatku serba salah...tidak sanggup mengatakan tidak. Aku sudah punya azam untuk tidak mengecewakan harapan dan permintaan orang selagi aku terdaya melakukannya. Sesiapa sahaja. Kerana aku juga mengharap perkara yang sama dari orang, maka akulah yang perlu melakukannya dahulu. Kucapai pen dan kertas. Berkali-kali kumemerah akal fikiran, namun tak terdaya. Tidak dapat tidur malam memikirkan tempoh semakin hampir untukku serah. Moga tidak mengecewakan. Lewat doa, kuluah pada-Nya agar aku tidak mengecewakan seorang insan yang sedang berharap. Alhamdulillah, dipenghujung waktu, berjaya kulakarkan sebuah tulisan hati yang kuambil jauuuh dari dalam kalbu. Namun ada perasaan kecewa kerana dari nilaianku, tulisan itu sepertinya kurang nilai, kurang puitisnya dan kurang indahnya. Namun hari ini aku sangat bersyukur apabila aku betul-betul dapat memenuhi sebuah pengharapan... Ya, bagiku mereka mendapat johan bukanlah kerana lirik yang kucipta, tetapi adalah kerana usaha mereka yang gigih membuat latihan, dan rentak yang mereka bawa sudah tentu menarik... Apapun, aku hanya menumpang gembira... terlintas dalam fikiran, bagaimanalah agaknya rentak yang mereka dendangkan? Ingin kucoret ilham itu disini sebagai tanda kenang-kenangan walaupun hakikatnya, ada yg telah diubah suai oleh mereka serba sedikit....


Akidah Kukuh Syakhsiah Terpuji

Lembaran wahyu seribu rahsia

Menjadi panduan semua manusia

Terjemahkanlah hidup dengan ajaranNya

Mukmin sejati cita-cita tinggi

Akidah kukuh syaksiah terpuji


Di dunia ini kita diciptakan

Untuk beribadah kepada Tuhan

Melalui wahyu kita dikhabarkan

Orang yang bertaqwa syurga dijanjikan


Ayuh lihatlah insan mithali

Akhlak mulia menghiasi diri

Indah tutur kata menyentuh hati

Cekal membina generasi rabbani

Rasul yang mulia syakhsiah terpuji

Contoh terulung untuk diikuti


Taatilah Tuhan, ikutilah nabi

sesama insan hormat-menghormati

anak yang berbakti penyejuk hati

menjadi insan soleh hidup diberkati

Rukun Islam


Mukmin sejati insan bertakwa

Pengabdian diri kepada Allah

Seluruh hidup, jiwa dan harta

Rukun Islam yang lima kita laksana


Mengucap dua kalimah syahadah

Allah itu Esa Muhammad pesuruhNya

Patrikan ia di dalam dada

Penyaksian agung seorang hamba


Ayuh kita bina tiang agama

Solat lima waktu sehari semalam

Tunaikan zakat bagi yang berharta

Agar yang berhak dapat menerimanya


Berpuasa pada bulan Ramadhan

Menahan nafsu jauhi larangan

Pasti melahirkan rasa keinsafan

Bentuk peribadi tingkat ketakwaan


Mengerjakan haji di baitullah

Di tanah suci Makkah Mukarramah

Di tempat barakah kita beribadah

Moga rahmatNya mencurah-curah.


Wednesday, March 16, 2011

Nasihat Dari Sahabat



Seorang manusia perlu selalu mendengar nasihat, peringatan, dan motivasi kerana manusia itu Allah ciptakan bersifat pelupa... Teringat zaman sekolah dulu... KISAS adalah tempat yang paling banyak saya mendengar nasihat2 dan peringatan... setiap kali selepas asar, subuh, dan sebelum tidur...betapa benar ianya bumi tarbiah. Saya rindukan zaman pengajian di mana susah senang dulu ada sahabat disisi... saling kuat menguatkan... Alhamdulillah, hari ini saya dapat berbual dengan seorang sahabat yang banyak memberi motivasi dan kata-kata peransang untuk saya jadi insan yang kuat dalam menghadapi kehidupan yang bakal mendatang... Dalam banyak-banyak perbicaraannya, saya berminat untuk memetik satu perumpamaan yang pastinya saya akan sematkan kemas-kemas di dalam hati... erm lebih kurang macamni bunyinya...
" Jangan jadi seperti sarang tebuan, bila dijolok, tebuan-tebuannya akan menyerang dan menyengat si penjolok. Tapi jadilah seperti pohon yang berbuah... bila dijolok, akan menjatuhkan buah-buah yang enak untuk si penjolok..."
ish..nape rasa cam xsedap je ayat ni...dah tak ingat ayat yg sebenarnya. Yang pastinya saya dapat simpulkan kat sini, nak jadi seperti pokok yang berbuah kena ada dalam diri kesabaran yang kuat....tanpa ada sabar bisa saja kita berubah menjadi seperti sarang tebuan...wal'iyazubillah.... Dan sekiranya kita mencari redho manusia, sampai bila-bila pasti kita tak temuinya...jadi carilah redho Allah, kerana ianya pasti!



Dan sahabat saya yg lain pernah mengatakan, orang yang suka berbuat baik dengan orang, mudah untuk mendapat doa dari orang... dan seperti yg kita tahu, antara doa yang dimakbulkan ialah doa seseorang kepada orang lain yang tidak diketahui oleh orang yang didoakannya.



Terima kasih buat sahabat atas mutiara-mutiara yg sangat bernilai buat diri yang sangat dhoif ini....

Sunday, March 6, 2011

Password Doa


Tajuk Halaqah TV9 beberapa hari yg lepas telah mengupas satu tajuk yang sangat menarik iaitu Password Doa. Sebelum kita mengetahui password tersebut, eloklah kita mengetahui dulu serba sedikit hal yang berkaitan dengan doa.

  • Doa adalah ibadah
  • Berdoa melambangkan kehambaan
  • Orang yang malas berdoa ialah orang yang ego kepada Allah
  • Orang kafir juga turut berdoa, menunjukkan doa adalah fitrah manusia. Sepatutnya seorang muslim lebih doanya dari orang kafir kerana doa mereka hanya sia-sia sedangkan orang muslim doanya didengari dan dimakbulkan

Di antara orang yang dimakbulkan doanya:

1. Orang yang berpuasa (tidak kira samada puasa Ramadhan, nazar, sunnat atau ganti asalkan lillahita'ala)
2. Pemimpin yang adil
3. Orang yang dizalimi

Di antara adab-adab berdoa ialah:

-Berdoa dengan menghadap kiblat.

-Berdoa dengan merendahkan suara antara terdengar dan tidak oleh orang yang berada di sisi kita

-Memuji Allah dan berselawat di permulaan dan pengakhiran doa.

-Bertaubat sebelum berdoa dan menghadapkan diri dengan sesungguhnya kepada Allah s.w.t.

Antara waktu-waktu yang dimakbulkan doa :

- Di bulan Ramadhan

- Pada hari Jumaat

- Diwaktu sujud dalam solat

- Antara azan dan iqamah

- Ketika pertempuran dengan musuh (perang)

- Ketika hujan turun

- Pada waktu sahur

- Pada waktu sebelum berbuka puasa

- Pada 1/3 malam

Doa tidak mustajab jika makan makanan dari sumber yang haram. Contoh: Sesuatu yang dibeli dari duit yang haram seperti hasil rasuah dan sbgainya. Orang yang paling perlu beringat tentang perkara ini ialah ketua keluarga kerana dia bertanggungjawab menyara dan memberi makan kepada seluruh keluarganya. Jika duit yang digunakan dari sumber yang tidak halal, maka kesannya terhadap seluruh keluarga...

Password Doa :Y2k

y2 (ingat yang dua: 1)Yakin Allah sedang mendengar doa kita

2)Yakin Allah akan perkenankan doa kita

k (khusyu') -untuk mendapatkan kekhusyukan, kita kena tahu apa yang sedang kita minta pada Allah...bukan mulut sahaja berdoa, sedangkan fikiran melayang ke lain.

setelah itu, kita pasrahkan segalanya kepada Allah dan redho setiap yang telah ditentukanNya






Monday, February 28, 2011

Tawakkal


Tajuk : Hakikat Tawakal
Penulis : Fadhilah As-Syeikh Soleh Bin Abdullah Al-Fauzan

Terbitan : Darul Na'im
Bil. Mukasurat : 48

Harga : LE 1 (RM 0.75)

Buku kecil yang bersaiz poket ini dibeli di kedai buku Darul Salam, Haiyyu Sabeik Kaherah.
Majoriti umat Islam memahami maksud tawakkal dan tawakkal tidak dapat dipisahkan dengan usaha dan doa. Di dalam buku ini banyak menekankan bahawa tawakkal perlu di dahului dengan "asbab" atau dengan makna lain "usaha". Saya akan catitkan serba sedikit isi penting yang saya dapat untuk dijadikan peringatan buat diri :

- Tawakkal kepada Allah SWT adalah diantara perbuatan hati maka ianya menjadi ibadah qalbiah@ ibadah hati kerana tawakkal itu tidak terjadi dengan anggota dan pancaindera, bahkan ianya berlaku pada hati.

-Sesetengah ahli ilmu mengibaratkan tawakkal dengan agama seperti kedudukan kepala pada jasad. Maka sesiapa yang tiada tawakkal, tiada padanya agama. Kerana jasad yang tiada kepala pastinya tidak hidup.


- Asas syirik ialah bertawakkal kepada selain Allah -Bukanlah dinamakan tawakkal sekiranya menyerahkan segala perkara kepada Allah dengan meninggalkan "asbab" sedangkan Allah menjadikan sesuatu itu dengan sebab. Contoh: Kita menyerahkan keputusan peperiksaan kepada Allah dan asbabnya adalah baca buku.

- Bekalan itu ada dua. Bekalan dunia dan bekalan akhirat. Bekalan dunia seperti makanan, minuman, pakaian, dan kesemua kelengkapan yang dihajati oleh manusia sebagai bekalan orang yang sedang musafir. Adapun bekalan untuk perjalanan ke akhirat ialah taqwa.

-Yang dimaksudkan bekalan yntuk akhirat dengan taqwa ialah melakukan perintah-perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya.


- Sesiapa yang bertawakkal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakkal, sesungguhnya Allah menyayanginya, dan apabila Allah menyayanginya, akan bahagialah di dunia dan di akhirat.


“Seandainya kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, nescaya kamu diberi rezeki seperti burung diberi rezeki, ia pagi hari lapar dan petang hari telah kenyang.” (Riwayat Ahmad, at-Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim dari Umar bin al-Khattab r.a.)

“Firman Allah dalam hadis qudsi: “Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk menyembah-Ku maka Aku akan membuat hatimu kaya dan menutup kefakiranmu. Jika tidak melakukannya maka Aku akan penuhi tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak menutup kefakiranmu.” (Hadis Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abu Hurairah r.a.)

Tuesday, February 22, 2011

La Tahzan


Tajuk :Jangan Bersedih
Penulis : 'Aidh Bin Abdullah Al-Qarni
Penterjemah : Mohd sofwan Amrullah
Penerbit : Jasmin Enterprise
Bil.M/surat : 592

Buku ini telah dibeli pada tahun 2004. Sebuah buku motivasi yang menyentuh pelbagai aspek permasalahan yang dihadapi oleh jiwa seorang manusia. Buku ini sedikit sebanyak dapat membantu diri merawat penyakit-penyakit hati yang susah untuk sabar, susah untuk redho, dan susah untuk ikhlas menjalani kehidupan dan ujiannya.

Antara perkara yang ditekankan di dalam buku ini ialah menyedarkan kita agar menghargai kehidupan yang sedang kita jalani hari ini, bukan semalam yang takkan kembali lagi, dan bukan esok yang belum pasti. Kebanyakan manusia terlalu bersedih-sedih dengan hari yang lepas, dan terlalu merisaukan hari yang mendatang, sedangkan hari yang sedang ia jalani disia-siakan begitu sahaja. Begitulah juga yang sering saya alami...... Banyak lagi tajuk-tajuk menarik menyentuh aspek kehidupan terkandung di dalam buku ini.

Buku ini bukanlah ubat yang dapat menghilangkan terus 'sakit' yang dialami, tetapi buku ini mengajar kita bagaimana menangani rasa 'sakit' tersebut... Terkandung di dalam buku ini kombinasi daripada al-Quran, Hadith, kalam-kalam hukama', falsafah, syair, pengalaman-pengalaman hidup, dan kisah-kisah yang menarik yang semuanya dipaparkan dengan tujuan memberi kesedaran, motivasi, tauladan, dan panduan buat pembaca. Saya juga tidak melepaskan peluang membeli buku ini versi bahasa Arab ketika di Mesir dengan tujuan untuk melihat gaya bahasa yang digunakan.

Silalah membaca buku ini andai belum pernah membacanya....:-)


Salah seorang ulama' salaf berkata : "Wahai manusia, hidupmu itu tiga hari sahaja. Hari kelmarin yang sudah berlalu, hari esok yang belum datang, dan hari ini dimana anda mesti bertaqwa kepada Allah"

" Carilah kematian, nescaya kamu akan beroleh kehidupan "
-Abu Bakar as-Siddiq-


" Jika dada terasa sesak, masalah tersangat rumit, tipu muslihat sangat banyak, maka bersegeralah ke tempat sembahyang, dan sembahyanglah...."