Friday, November 8, 2019

Jaddid Hayatak




Tajuk Buku : Jaddid Hayatak ( Perbaharui Hidupmu)
Penulis : Syeikh Muhammad Al-Ghazali
Penerbit : Iman Publications
Mukasurat : 319 


Ulasan : 

Buku ini antara buku motivasi terbaik yang saya pernah baca dan miliki selain daripada buku La Tahzan karangan Dr. Aidh Al-Qarni. Buku ini mengandungi 26 subtopik yang sangat menarik kupasannya. Antara tajuk-tajuk yang terdapat di dalam buku ini ialah : Jangan Abaikan Sesuatu yang Tampak Kecil, Hidup Anda Dibentuk oleh Fikiran Anda, Jangan Mengharap Ucapan Terima Kasih, Spiritual Rasulullah dan banyak lagi tajuk-tajuk yang sangat dekat dengan persoalan kehidupan seorang manusia.
Setiap orang tidak terlepas dari berhadapan dengan masalah dalam hidup. Ada yang jatuh tersungkur, ada yang tenggelam, ada yang menyimpang, ada yang mati jiwanya... Namun sebagai seorang muslim dan mukmin kita mestilah menjadikan ujian dalam kehidupan ini satu medium untuk kita kembali kepada Allah dan mendekatkan diri kepadaNya. Jika jatuh, kita kena usaha bangun semula. Jika lemas, kita kena segera berenang ketepian dan minta bantuan orang lain. Jika menyimpang, kita kena segera berpatah balik dan mencari jalan pulang dan jika hati mati, segeralah meniup semula ruh kehidupan padanya kerana hakikatnya ianya masih berpeluang untuk hidup dengan kehidupan yang indah dan bahagia.
Buku ini sangat sesuai buat insan yang sedang berusaha membina hidup baru atau ingin perbaharui hidupnya agar lebih baik, lebih positif dan lebih terpimpin mengikut acuan Islam. Banyak perkara yang telah mengetuk pintu hati saya setelah membacanya. Saya mencadangkan buku ini dibaca oleh anda yang selalu di dalam kemurungan, tekanan, kegelisahan, ketakutan dan yang sedang mencari kekuatan untuk merubah kehidupan. Selamat Membaca!

No comments: