PASAR JENAZAH
OLEH
: Nisaul Kifah (SHARIFAH KHAIRUNNISA BT
SYED MUHAMMAD RAFEII)
AKU sudah ketiadaan ibu. Yang
tinggal hanya ayah dan adik-beradik yang yang lain. Aku tahu jasa ayah sangat
besar. Walaupun dia tidak melahirkan, namun dia telah banyak berkorban untuk
membesarkan kami sekeluarga. Dia tidak pernah mengeluh menyara hidup kami.
Tidak lokek memberi wang dan kasih sayang. Aku bukanlah anak derhaka namun
ciri-cirinya sedikit sebanyak menyerlah juga. Dibiar ayah seorang diri
menguruskan ikan-ikan dan sayur-sayur di pasar. Sedikitpun tidak pernah aku
menjenguk apatah lagi menolong, melainkan dalam keadaan terdesak. Kata-katanya
juga sering kubantah.
“Kenapa hari ini ayah masih belum
pulang, sudah terlalu lewat”. Hal ini membuatkan aku sukar untuk lena walaupun
berada di atas tilam yang empuk dan mata kian mengantuk. Aku perlu pergi ke
pasar itu.
Aku melangkah masuk ke dalam pasar. Kuamati sekeliling bangunan
ini. Ya, aku yakin ini adalah pasar yang kutuju namun seperti ada yang tidak
kena. Semakin aku melangkah masuk ke perutnya, semakin kuat hingar bingar yang
menerjah masuk ke telinga. Lagaknya sedang berjual beli. Namun hatiku
mengatakan suasana ini amat pelik. Aku masih tidak dapat melihat barangan yang
diperjualkan dek kerana manusia terlalu ramai berkerumun di setiap tempat. Aku
terus menapak perlahan-lahan mencari ruang. Biarpun berpusu-pusu, aku tetap
teruskan langkah. Aku tertarik untuk ke satu kedai yang nampaknya begitu ramai
pelanggan.
"Saya nak beli tiga!".
"Saya nak beli lapan!".
Apa yang mereka rebutkan? Aku bertekad untuk turut menyelit dan
mencelah di situ, dan akhirnya mataku berjaya mencuri pandang. Hah, kain kapan!
Dadaku berdebar. Pasar apakah ini? Apa yang telah menimpa orang-orang di sini,
seperti diluar tabiat. Ya Allah, di dunia manakah kau campakkan aku ini, aku
sesat barangkali. Ayah belum aku temui. Aku terus kaku dan hanya mampu
memerhati apa yang berlaku. Berbungkus-bungkus kain kapan tersusun dan
menimbun, siap diasingkan tiga-tiga helai dan lima-lima helai. Beli satu
bungkus bermakna dapat terus tiga lapis. Betul, tiga lapis untuk lelaki dan
lima lapis untuk perempuan. Begitu sistematik cara penjualannya. Dalam sempat
aku berkira-kira, terdengar suara penjual melaung.
"Maaf, bekalan dah habis, tunggu lagi sejam!"
Fuh, larisnya kain kapan, selaris goreng pisang panas. Bagimana
pula dengan ukuran dan saiznya, manusia itu kan berbeza? Ah, bukan mereka itu
bodoh! Aku membiarkan persoalanku tanpa jawapan kerana aku yakin, sudah pasti
ada caranya. Aku beredar dari situ kerana aku tiada hajat untuk membelinya.
Mulutku terlalu berat untuk memuntah persoalan-persoalan difikiran. Aku hanya
memerhati. Ya, ini suasana pasar! Kenapa boleh jadi begini? Aku bingung. Aku
merewang-rewang disekitar pasar tertutup itu tanpa arah. Ya, ini bukan pasar
biasa, ini pasar untuk orang mati. Ini pasar jenazah! Satu konklusi terpacul di
benak hatiku sementelah pandanganku tertancap pada satu kedai. Kedai yang
dipenuhi dengan keranda. Namun hanya seorang dua sahaja pelanggan yang berkunjung di situ, tidak seramai pelanggan kain kapan.
Langkah kuatur. Penjual keranda begitu ramah menegur.
“Adik, cari keranda? Kalau tidak mahu beli sekalipun, kami ada
sediakan perkhidmatan untuk menyewa.” Terangnya sambil mengukir senyum.
“Tak mengapa Pakcik, saya mahu lihat-lihat dahulu.”
Wajah penjual itu berkerut, mungkin hairan dengan jawapanku. Namun,
apa yang harus aku katakan lagi, sudah aku tersesat di sini, aku tiada hajat
untuk membeli semua itu.
Aku terus merewang-rewang, mencari-cari jika ada wajah yang aku
kenali, namun hampa. Pasar ini terlalu besar. Manusia penuh berasak-asakan,
terlalu riuh dan ripuh. Aku lemas. Tiba-tiba rasa bahu ditepuk, lantas aku
berpaling. Ya Allah! Tersirap darahku apabila sekumpulan manusia sedang
memerhatikan diriku, lantas masing-masing memalingkan muka ke satu arah di
bahagian atas. Pandanganku mengekori pandangan mereka. Ada skrin besar yang
sedang merakam gelagatku. Kenapa aku? Kenapa tidak orang lain? Aku tidak mampu
bersuara namun riak wajah sudah cukup menggambarkan keadaanku yang cemas dan
bingung.
“Adik, skrin itu akan memaparkan individu-individu yang beperwatakan
aneh dan asing. Skrin itu juga telah membantu kami menangkap pencuri-pencuri
kain kapan di sini.”
Barulah aku faham. Gerak-geriku meninjau-ninjau sudah pasti seakan
ingin mencuri. Aku harus membela diri. Setelah aku menyatakan aku tersesat,
mata-mata yang memandang tadi tidak lagi menatap wajahku. Cukup mereka tahu aku
bukan pencuri kain kapan, lantas jual beli rancak semula.
Seorang pengawal mencadangkan aku untuk ke kaunter pertanyaan.
“Saya Faqih. Saya tersesat di sini dan saya baru mengenali tempat
ini. Boleh tolong jelaskan serba sedikit mengenai tempat ini?”
Aku memuntah persoalan setelah lama berdiam diri.
“Pasar ini namanya Pasar Jenazah.”
Terbeliak mataku mendengarnya. Begitu tepat sangkaanku.
“ Dinamakan Pasar Jenazah kerana kami telah menyediakan segala
kelengkapan untuk jenazah seperti kain kapan, kapas, kain untuk mayat lelaki,
baju dan telekung untuk mayat wanita, daun bidara, kapur barus,setanggi,
keranda, dan banyak lagi. Kami juga menyediakan kursus pengurusan jenazah bagi
mereka yang berminat.”
Wah, sungguh hebat tempat ini. Aku melihat pamplet yang dihulurkan.
Penerangan mengenai kursus pengurusan jenazah. Lima fardu kifayah yang perlu
ditunaikan ke atas jenazah akan diajar secara terperinci sekali. Memandikan
mayat, mengapankan, menyembahyangkan, mengusung jenazah ke kubur, dan
mengebumikan. Baru aku tahu ini adalah fardu kifayah, bermakna ianya akan jadi
wajib sekiranya tida siapa yang menguruskan. Aku jahil tentang ini semua.
Tiba-tiba perasaan malu menyelimutiku. Aku seorang muslim, namun masih jahil
tentang ini semua. Yang aku tahu cuma kain kapan dan keranda. Rupanya banyak
lagi keperluan untuk jenazah. Kapur barus, air bidara, apa semua itu? Aku gagahkan
diri untuk melontar soalan yang seterusnya.
Biar malu asal tidak jahil.
“Boleh saya tahu, apa itu kapur barus dan apa kegunaannya ya?”
Riak wajah pemuda itu kelihatan tenang dan berminat untuk memberi
penerangan. Memang patut dia bekerja di sini. Aku paling tidak suka penjaga
kaunter yang suka menengking dan memperlekeh pelanggan.
“Baiklah, kapur barus ini diperolehi daripada pokok Dryobalanops Aromatic.
Air kapur barus kebiasaannya digunakan ketika memandikan jenazah. Disunatkan
mandian ketiga dan terakhir dengan air kapur barus atau wangi-wangian.”
Sedang kami rancak berbual, tiba-tiba suasana jadi gamat. Cemas.
Semua pelanggan Pasar Jenazah meluru ke pintu utama. Gelagat mereka tidak lebih
seperti sang rakyat menyambut sultan. Berpusu-pusu untuk melihat. Aku mencuri
intai di lubang dinding pasar. Suasana yang menghiasi pandangan membuatkan
degupan jantungku kencang. Ada sebuah lori besar tersadai di perkarangan pasar.
Satu persatu mayat dikeluarkan dari perut lori. Ramainya orang mati. Aku kaget.
“Tanah runtuh yang dahsyat di sebuah perumahan tadi. Mungkin
mayat-mayat ini akan diurus di sini.” Bicara seorang lelaki itu telah menjawab
persoalanku.
Telingaku tertancap pada bunyi-bunyi yang memilukan. Ada tangis,
ada sendu. Kelihatan orang ramai berlari-lari menerpa kearah jenazah-jenazah
tersebut. Mungkin yang terkorban itu adalah ahli keluarga mereka. Mataku liar
merenung jenazah-jenazah itu, manalah tahu kalau ada wajah yang kukenali.
“Faqih!”
Ada suara yang memanggil namaku lantas aku menoleh ke arah suara
itu. Sekelip mata wajah-wajah yang
kukenali berada dibelakangku. Suram. Mata-mata mereka kelihatan berkaca dan ada
esak kedengaran. Sekujur tubuh diusung. Aku meluru mendapatkannya. “Ayah!”
“Astaghfirullah!” Aku membuka mata dan terus bangun. Kaki
yang sedang melunjur terasa kebas. Rupanya aku bermimpi. Terasa kebasahan di
kelopak mata. Aku benar-benar menangis barangkali. Jam sudahpun menunjukkan
pukul tiga pagi. Sebuah majalah yang aku baca lewat malam tadi masih terbuka.
Aku tersentak dengan tajuk yang terpampang pada muka surat yang terbuka.
“Setiap Manusia Akan Merasai Mati.” Satu artikel yang belum sempat aku baca,
tetapi mimpiku telah mendahuluinya. Ah, ini pastinya satu kebetulan. Aku berkira-kira.
Mata masih mengantuk. Aku teringat pada ayah. Baru aku sedar, hari ini ayah
tidur di rumah kakak, patutlah tidak pulang-pulang ke rumah. Aku lihat-lihat
telefon bimbit. Rupanya ada masej yang yang aku terima belum dibaca. Entah bila
diterima aku tidak sedar. Ibu jariku segera menekan butang telefon bimbit. Dari
Abang Long. “Ketahuilah, Orang yang paling cerdik itu adalah mereka yang
mengingati mati.” Telefon bimbitku tercampak dari tangan. Adakah ini juga satu
kebetulan? Pesanan ini tidak membenarkan aku untuk terus lena. Dunia begitu
sepi membuatkan aku rasa begitu seram. Debaran di dada cuba kukawal. Oh Tuhan,
sudah hampirkah ajalku? Kenapa bertalu-talu peringatan datang kepadaku? Mataku
mula meliar ke setiap penjuru bilik. Entahkan malaikat maut sudah ada
disebelahku. Oh Tuhan, aku tidak mahu mati lagi! Jerit hatiku bersama linangan
air mata. Moga ada kesempatan untukku menjadi anak yang taat dan soleh. Moga
ada kesempatan untukku bertaubat!
1 comment:
Sangat best cita ni real..lain dr yg lain
Post a Comment