Saturday, November 2, 2013

Pasar Jenazah


PASAR JENAZAH

OLEH  : Nisaul Kifah (SHARIFAH KHAIRUNNISA BT SYED MUHAMMAD RAFEII)

            AKU sudah ketiadaan ibu. Yang tinggal hanya ayah dan adik-beradik yang yang lain. Aku tahu jasa ayah sangat besar. Walaupun dia tidak melahirkan, namun dia telah banyak berkorban untuk membesarkan kami sekeluarga. Dia tidak pernah mengeluh menyara hidup kami. Tidak lokek memberi wang dan kasih sayang. Aku bukanlah anak derhaka namun ciri-cirinya sedikit sebanyak menyerlah juga. Dibiar ayah seorang diri menguruskan ikan-ikan dan sayur-sayur di pasar. Sedikitpun tidak pernah aku menjenguk apatah lagi menolong, melainkan dalam keadaan terdesak. Kata-katanya juga sering kubantah.

            “Kenapa hari ini ayah masih belum pulang, sudah terlalu lewat”. Hal ini membuatkan aku sukar untuk lena walaupun berada di atas tilam yang empuk dan mata kian mengantuk. Aku perlu pergi ke pasar itu.


Aku melangkah masuk ke dalam pasar. Kuamati sekeliling bangunan ini. Ya, aku yakin ini adalah pasar yang kutuju namun seperti ada yang tidak kena. Semakin aku melangkah masuk ke perutnya, semakin kuat hingar bingar yang menerjah masuk ke telinga. Lagaknya sedang berjual beli. Namun hatiku mengatakan suasana ini amat pelik. Aku masih tidak dapat melihat barangan yang diperjualkan dek kerana manusia terlalu ramai berkerumun di setiap tempat. Aku terus menapak perlahan-lahan mencari ruang. Biarpun berpusu-pusu, aku tetap teruskan langkah. Aku tertarik untuk ke satu kedai yang nampaknya begitu ramai pelanggan.

"Saya nak beli tiga!".

"Saya nak beli lapan!".

Apa yang mereka rebutkan? Aku bertekad untuk turut menyelit dan mencelah di situ, dan akhirnya mataku berjaya mencuri pandang. Hah, kain kapan! Dadaku berdebar. Pasar apakah ini? Apa yang telah menimpa orang-orang di sini, seperti diluar tabiat. Ya Allah, di dunia manakah kau campakkan aku ini, aku sesat barangkali. Ayah belum aku temui. Aku terus kaku dan hanya mampu memerhati apa yang berlaku. Berbungkus-bungkus kain kapan tersusun dan menimbun, siap diasingkan tiga-tiga helai dan lima-lima helai. Beli satu bungkus bermakna dapat terus tiga lapis. Betul, tiga lapis untuk lelaki dan lima lapis untuk perempuan. Begitu sistematik cara penjualannya. Dalam sempat aku berkira-kira, terdengar suara penjual melaung.

"Maaf, bekalan dah habis, tunggu lagi sejam!"

Fuh, larisnya kain kapan, selaris goreng pisang panas. Bagimana pula dengan ukuran dan saiznya, manusia itu kan berbeza? Ah, bukan mereka itu bodoh! Aku membiarkan persoalanku tanpa jawapan kerana aku yakin, sudah pasti ada caranya. Aku beredar dari situ kerana aku tiada hajat untuk membelinya. Mulutku terlalu berat untuk memuntah persoalan-persoalan difikiran. Aku hanya memerhati. Ya, ini suasana pasar! Kenapa boleh jadi begini? Aku bingung. Aku merewang-rewang disekitar pasar tertutup itu tanpa arah. Ya, ini bukan pasar biasa, ini pasar untuk orang mati. Ini pasar jenazah! Satu konklusi terpacul di benak hatiku sementelah pandanganku tertancap pada satu kedai. Kedai yang dipenuhi dengan keranda. Namun hanya seorang dua sahaja pelanggan yang berkunjung  di situ, tidak seramai pelanggan kain kapan. Langkah kuatur. Penjual keranda begitu ramah menegur.

“Adik, cari keranda? Kalau tidak mahu beli sekalipun, kami ada sediakan perkhidmatan untuk menyewa.” Terangnya sambil mengukir senyum.

“Tak mengapa Pakcik, saya mahu lihat-lihat dahulu.”

Wajah penjual itu berkerut, mungkin hairan dengan jawapanku. Namun, apa yang harus aku katakan lagi, sudah aku tersesat di sini, aku tiada hajat untuk membeli semua itu.


Aku terus merewang-rewang, mencari-cari jika ada wajah yang aku kenali, namun hampa. Pasar ini terlalu besar. Manusia penuh berasak-asakan, terlalu riuh dan ripuh. Aku lemas. Tiba-tiba rasa bahu ditepuk, lantas aku berpaling. Ya Allah! Tersirap darahku apabila sekumpulan manusia sedang memerhatikan diriku, lantas masing-masing memalingkan muka ke satu arah di bahagian atas. Pandanganku mengekori pandangan mereka. Ada skrin besar yang sedang merakam gelagatku. Kenapa aku? Kenapa tidak orang lain? Aku tidak mampu bersuara namun riak wajah sudah cukup menggambarkan keadaanku yang cemas dan bingung.

“Adik, skrin itu akan memaparkan individu-individu yang beperwatakan aneh dan asing. Skrin itu juga telah membantu kami menangkap pencuri-pencuri kain kapan di sini.”

Barulah aku faham. Gerak-geriku meninjau-ninjau sudah pasti seakan ingin mencuri. Aku harus membela diri. Setelah aku menyatakan aku tersesat, mata-mata yang memandang tadi tidak lagi menatap wajahku. Cukup mereka tahu aku bukan pencuri kain kapan, lantas jual beli rancak semula. 


Seorang pengawal mencadangkan aku untuk ke kaunter pertanyaan.

“Saya Faqih. Saya tersesat di sini dan saya baru mengenali tempat ini. Boleh tolong jelaskan serba sedikit mengenai tempat ini?”

Aku memuntah persoalan setelah lama berdiam diri.

“Pasar ini namanya Pasar Jenazah.”

Terbeliak mataku mendengarnya. Begitu tepat sangkaanku.

“ Dinamakan Pasar Jenazah kerana kami telah menyediakan segala kelengkapan untuk jenazah seperti kain kapan, kapas, kain untuk mayat lelaki, baju dan telekung untuk mayat wanita, daun bidara, kapur barus,setanggi, keranda, dan banyak lagi. Kami juga menyediakan kursus pengurusan jenazah bagi mereka yang berminat.” 

Wah, sungguh hebat tempat ini. Aku melihat pamplet yang dihulurkan. Penerangan mengenai kursus pengurusan jenazah. Lima fardu kifayah yang perlu ditunaikan ke atas jenazah akan diajar secara terperinci sekali. Memandikan mayat, mengapankan, menyembahyangkan, mengusung jenazah ke kubur, dan mengebumikan. Baru aku tahu ini adalah fardu kifayah, bermakna ianya akan jadi wajib sekiranya tida siapa yang menguruskan. Aku jahil tentang ini semua. Tiba-tiba perasaan malu menyelimutiku. Aku seorang muslim, namun masih jahil tentang ini semua. Yang aku tahu cuma kain kapan dan keranda. Rupanya banyak lagi keperluan untuk jenazah. Kapur barus, air bidara, apa semua itu? Aku gagahkan diri  untuk melontar soalan yang seterusnya. Biar malu asal tidak jahil. 

“Boleh saya tahu, apa itu kapur barus dan apa kegunaannya ya?”

Riak wajah pemuda itu kelihatan tenang dan berminat untuk memberi penerangan. Memang patut dia bekerja di sini. Aku paling tidak suka penjaga kaunter yang suka menengking dan memperlekeh pelanggan.

“Baiklah, kapur barus ini diperolehi daripada pokok Dryobalanops Aromatic. Air kapur barus kebiasaannya digunakan ketika memandikan jenazah. Disunatkan mandian ketiga dan terakhir dengan air kapur barus atau wangi-wangian.”


Sedang kami rancak berbual, tiba-tiba suasana jadi gamat. Cemas. Semua pelanggan Pasar Jenazah meluru ke pintu utama. Gelagat mereka tidak lebih seperti sang rakyat menyambut sultan. Berpusu-pusu untuk melihat. Aku mencuri intai di lubang dinding pasar. Suasana yang menghiasi pandangan membuatkan degupan jantungku kencang. Ada sebuah lori besar tersadai di perkarangan pasar. Satu persatu mayat dikeluarkan dari perut lori. Ramainya orang mati. Aku kaget.

“Tanah runtuh yang dahsyat di sebuah perumahan tadi. Mungkin mayat-mayat ini akan diurus di sini.” Bicara seorang lelaki itu telah menjawab persoalanku.


Telingaku tertancap pada bunyi-bunyi yang memilukan. Ada tangis, ada sendu. Kelihatan orang ramai berlari-lari menerpa kearah jenazah-jenazah tersebut. Mungkin yang terkorban itu adalah ahli keluarga mereka. Mataku liar merenung jenazah-jenazah itu, manalah tahu kalau ada wajah yang kukenali.

“Faqih!”

Ada suara yang memanggil namaku lantas aku menoleh ke arah suara itu. Sekelip mata wajah-wajah  yang kukenali berada dibelakangku. Suram. Mata-mata mereka kelihatan berkaca dan ada esak kedengaran. Sekujur tubuh diusung. Aku meluru mendapatkannya. “Ayah!”

 
Astaghfirullah!” Aku membuka mata dan terus bangun. Kaki yang sedang melunjur terasa kebas. Rupanya aku bermimpi. Terasa kebasahan di kelopak mata. Aku benar-benar menangis barangkali. Jam sudahpun menunjukkan pukul tiga pagi. Sebuah majalah yang aku baca lewat malam tadi masih terbuka. Aku tersentak dengan tajuk yang terpampang pada muka surat yang terbuka. “Setiap Manusia Akan Merasai Mati.” Satu artikel yang belum sempat aku baca, tetapi mimpiku telah mendahuluinya. Ah, ini pastinya satu kebetulan. Aku berkira-kira. Mata masih mengantuk. Aku teringat pada ayah. Baru aku sedar, hari ini ayah tidur di rumah kakak, patutlah tidak pulang-pulang ke rumah. Aku lihat-lihat telefon bimbit. Rupanya ada masej yang yang aku terima belum dibaca. Entah bila diterima aku tidak sedar. Ibu jariku segera menekan butang telefon bimbit. Dari Abang Long. “Ketahuilah, Orang yang paling cerdik itu adalah mereka yang mengingati mati.” Telefon bimbitku tercampak dari tangan. Adakah ini juga satu kebetulan? Pesanan ini tidak membenarkan aku untuk terus lena. Dunia begitu sepi membuatkan aku rasa begitu seram. Debaran di dada cuba kukawal. Oh Tuhan, sudah hampirkah ajalku? Kenapa bertalu-talu peringatan datang kepadaku? Mataku mula meliar ke setiap penjuru bilik. Entahkan malaikat maut sudah ada disebelahku. Oh Tuhan, aku tidak mahu mati lagi! Jerit hatiku bersama linangan air mata. Moga ada kesempatan untukku menjadi anak yang taat dan soleh. Moga ada kesempatan untukku bertaubat!

~nisaul_kifah ~
Wisma Darul Ridzuan, Kaherah 2009