Tuesday, March 29, 2011

Berita Gembira



Alhamdulillah semalam dapat mesej dari Ukhti Khairunnisa Khusaini mengatakan kumpulan nasyid sekolahnya mendapat johan kelompok! Aku hampir lupa mengenainya... tambah pulak sibuk mengurus emosi yang kurang stabil di tempat baru... Aku sangat gembira mendengar khabar ini kerana kedua-dua lirik lagu yang dibawa di dalam pertandingan itu adalah hasil ilhamku. Teringat saat-saat aku diminta menyumbang lirik nasyid. Ketika itu aku seorang penganggur...menghabiskan masa dengan seisi rumah, bermesra dengan dapur, dengan laman, dengan rak-rak buku.. dan yang paling sukar untuk dilupai 'bermesra' dengan seorang insan tua lagi uzur di pembaringannya... keletihan membuatku tiada daya mencari ilham dan ide. aku tiada mood. Namun tak sanggup mengecewakan permintaan seorang sahabat. Rayuannya membuatku serba salah...tidak sanggup mengatakan tidak. Aku sudah punya azam untuk tidak mengecewakan harapan dan permintaan orang selagi aku terdaya melakukannya. Sesiapa sahaja. Kerana aku juga mengharap perkara yang sama dari orang, maka akulah yang perlu melakukannya dahulu. Kucapai pen dan kertas. Berkali-kali kumemerah akal fikiran, namun tak terdaya. Tidak dapat tidur malam memikirkan tempoh semakin hampir untukku serah. Moga tidak mengecewakan. Lewat doa, kuluah pada-Nya agar aku tidak mengecewakan seorang insan yang sedang berharap. Alhamdulillah, dipenghujung waktu, berjaya kulakarkan sebuah tulisan hati yang kuambil jauuuh dari dalam kalbu. Namun ada perasaan kecewa kerana dari nilaianku, tulisan itu sepertinya kurang nilai, kurang puitisnya dan kurang indahnya. Namun hari ini aku sangat bersyukur apabila aku betul-betul dapat memenuhi sebuah pengharapan... Ya, bagiku mereka mendapat johan bukanlah kerana lirik yang kucipta, tetapi adalah kerana usaha mereka yang gigih membuat latihan, dan rentak yang mereka bawa sudah tentu menarik... Apapun, aku hanya menumpang gembira... terlintas dalam fikiran, bagaimanalah agaknya rentak yang mereka dendangkan? Ingin kucoret ilham itu disini sebagai tanda kenang-kenangan walaupun hakikatnya, ada yg telah diubah suai oleh mereka serba sedikit....


Akidah Kukuh Syakhsiah Terpuji

Lembaran wahyu seribu rahsia

Menjadi panduan semua manusia

Terjemahkanlah hidup dengan ajaranNya

Mukmin sejati cita-cita tinggi

Akidah kukuh syaksiah terpuji


Di dunia ini kita diciptakan

Untuk beribadah kepada Tuhan

Melalui wahyu kita dikhabarkan

Orang yang bertaqwa syurga dijanjikan


Ayuh lihatlah insan mithali

Akhlak mulia menghiasi diri

Indah tutur kata menyentuh hati

Cekal membina generasi rabbani

Rasul yang mulia syakhsiah terpuji

Contoh terulung untuk diikuti


Taatilah Tuhan, ikutilah nabi

sesama insan hormat-menghormati

anak yang berbakti penyejuk hati

menjadi insan soleh hidup diberkati

Rukun Islam


Mukmin sejati insan bertakwa

Pengabdian diri kepada Allah

Seluruh hidup, jiwa dan harta

Rukun Islam yang lima kita laksana


Mengucap dua kalimah syahadah

Allah itu Esa Muhammad pesuruhNya

Patrikan ia di dalam dada

Penyaksian agung seorang hamba


Ayuh kita bina tiang agama

Solat lima waktu sehari semalam

Tunaikan zakat bagi yang berharta

Agar yang berhak dapat menerimanya


Berpuasa pada bulan Ramadhan

Menahan nafsu jauhi larangan

Pasti melahirkan rasa keinsafan

Bentuk peribadi tingkat ketakwaan


Mengerjakan haji di baitullah

Di tanah suci Makkah Mukarramah

Di tempat barakah kita beribadah

Moga rahmatNya mencurah-curah.


Wednesday, March 16, 2011

Nasihat Dari Sahabat



Seorang manusia perlu selalu mendengar nasihat, peringatan, dan motivasi kerana manusia itu Allah ciptakan bersifat pelupa... Teringat zaman sekolah dulu... KISAS adalah tempat yang paling banyak saya mendengar nasihat2 dan peringatan... setiap kali selepas asar, subuh, dan sebelum tidur...betapa benar ianya bumi tarbiah. Saya rindukan zaman pengajian di mana susah senang dulu ada sahabat disisi... saling kuat menguatkan... Alhamdulillah, hari ini saya dapat berbual dengan seorang sahabat yang banyak memberi motivasi dan kata-kata peransang untuk saya jadi insan yang kuat dalam menghadapi kehidupan yang bakal mendatang... Dalam banyak-banyak perbicaraannya, saya berminat untuk memetik satu perumpamaan yang pastinya saya akan sematkan kemas-kemas di dalam hati... erm lebih kurang macamni bunyinya...
" Jangan jadi seperti sarang tebuan, bila dijolok, tebuan-tebuannya akan menyerang dan menyengat si penjolok. Tapi jadilah seperti pohon yang berbuah... bila dijolok, akan menjatuhkan buah-buah yang enak untuk si penjolok..."
ish..nape rasa cam xsedap je ayat ni...dah tak ingat ayat yg sebenarnya. Yang pastinya saya dapat simpulkan kat sini, nak jadi seperti pokok yang berbuah kena ada dalam diri kesabaran yang kuat....tanpa ada sabar bisa saja kita berubah menjadi seperti sarang tebuan...wal'iyazubillah.... Dan sekiranya kita mencari redho manusia, sampai bila-bila pasti kita tak temuinya...jadi carilah redho Allah, kerana ianya pasti!



Dan sahabat saya yg lain pernah mengatakan, orang yang suka berbuat baik dengan orang, mudah untuk mendapat doa dari orang... dan seperti yg kita tahu, antara doa yang dimakbulkan ialah doa seseorang kepada orang lain yang tidak diketahui oleh orang yang didoakannya.



Terima kasih buat sahabat atas mutiara-mutiara yg sangat bernilai buat diri yang sangat dhoif ini....

Sunday, March 6, 2011

Password Doa


Tajuk Halaqah TV9 beberapa hari yg lepas telah mengupas satu tajuk yang sangat menarik iaitu Password Doa. Sebelum kita mengetahui password tersebut, eloklah kita mengetahui dulu serba sedikit hal yang berkaitan dengan doa.

  • Doa adalah ibadah
  • Berdoa melambangkan kehambaan
  • Orang yang malas berdoa ialah orang yang ego kepada Allah
  • Orang kafir juga turut berdoa, menunjukkan doa adalah fitrah manusia. Sepatutnya seorang muslim lebih doanya dari orang kafir kerana doa mereka hanya sia-sia sedangkan orang muslim doanya didengari dan dimakbulkan

Di antara orang yang dimakbulkan doanya:

1. Orang yang berpuasa (tidak kira samada puasa Ramadhan, nazar, sunnat atau ganti asalkan lillahita'ala)
2. Pemimpin yang adil
3. Orang yang dizalimi

Di antara adab-adab berdoa ialah:

-Berdoa dengan menghadap kiblat.

-Berdoa dengan merendahkan suara antara terdengar dan tidak oleh orang yang berada di sisi kita

-Memuji Allah dan berselawat di permulaan dan pengakhiran doa.

-Bertaubat sebelum berdoa dan menghadapkan diri dengan sesungguhnya kepada Allah s.w.t.

Antara waktu-waktu yang dimakbulkan doa :

- Di bulan Ramadhan

- Pada hari Jumaat

- Diwaktu sujud dalam solat

- Antara azan dan iqamah

- Ketika pertempuran dengan musuh (perang)

- Ketika hujan turun

- Pada waktu sahur

- Pada waktu sebelum berbuka puasa

- Pada 1/3 malam

Doa tidak mustajab jika makan makanan dari sumber yang haram. Contoh: Sesuatu yang dibeli dari duit yang haram seperti hasil rasuah dan sbgainya. Orang yang paling perlu beringat tentang perkara ini ialah ketua keluarga kerana dia bertanggungjawab menyara dan memberi makan kepada seluruh keluarganya. Jika duit yang digunakan dari sumber yang tidak halal, maka kesannya terhadap seluruh keluarga...

Password Doa :Y2k

y2 (ingat yang dua: 1)Yakin Allah sedang mendengar doa kita

2)Yakin Allah akan perkenankan doa kita

k (khusyu') -untuk mendapatkan kekhusyukan, kita kena tahu apa yang sedang kita minta pada Allah...bukan mulut sahaja berdoa, sedangkan fikiran melayang ke lain.

setelah itu, kita pasrahkan segalanya kepada Allah dan redho setiap yang telah ditentukanNya