Friday, December 17, 2010

Temuduga SPP Jawatan Pagawai Pendidikan Pengajian Tinggi DH41 (Syariah dan Dakwah & Kepimpinan Islam)

Di sini saya ingin berkongsi pengalaman temuduga kepada mereka yang memerlukan maklumat ini. Semoga ia dapat memberi info pada mereka yang search tajuk di atas.

Secara umum soalan2 yang akan ditanya pada sesi temuduga ialah yang berkaitan dengan kenegaraan, kementerian pengajian tinggi, isu-isu semasa, dan bidang yang kita belajar semasa di universiti. Sekiranya lulus temuduga ini, anda akan dilantik untuk menjadi tenaga pengajar di Kolej Komuniti ataupun Politeknik. Jadi, kena tahu jugalah apa-apa yang berkaitan dengan kedua-dua institusi ini. Namun tidak semestinya seseorang calon itu akan ditanya kesemua item tersebut. Malah, adakalanya yang tiada kaitan langsung akan ditanya. Seperti saya, satu soalan pun tidak ditanya mengenai kenegaraan, dan KPT. Sahabat-sahabat lain yang saya tanya pengalaman mereka, semuanaya yang mengambil bidang Syariah, dan soalannya sudah tentu banyak tertumpu kepada hukum hakam, danUsul Fiqh. Jadi saya ingin berkongsi pengalaman temuduga yang saya lalui sebagai graduan yang mengambil bidang Usuluddin.

Antara soalan-soalan yang diajukan:

1) Umat Islam ni terlalu banyak pegangan... Syiah, Wahabi, Ahli Sunnah Waljama'ah..jadi yang mana satu betul?

2)Syiah kata mereka yang betul.. Wahabi kata mereka yang betul, jadi macamana? Bagaimana nak terangkan pada masyarakat yang keliru?

3) Darimana asalnya pegangan ahli sunnah waljamaah?

4) Bagaimana kita nak tahu sesuatu ajaran itu merupakan ajaran sesat? Dan beri contoh...

5) Apakah konsep syahadah?

6) Mengapa kita perlu mengucapkan syahadah? Tak boleh ke kalau kita tak ucap sedangkan kita dah beragama Islam.

7) Apakah konsep iman, dan apakah perkara-perkara yang membatalkan iman? dan beri contoh?

8)Adakah terbatal iman seseorang jika dia sengaja memakai salib? Dia tak bermaksud nak murtad, tapi pakai untuk suka-suka... saja-saja..

9)Bagaimana kalau terdapat lambang salib di sejadah?


Inilah diantara soalan-soalan yang diajukan kepada saya. Mungkin ada beberapa lagi soalan yang saya tak ingat. Bagi saya yang kurang ilmu ini, soalan-soalan ini agak susah dan tidak dinafikan banyak juga soalan yang saya tak dapat jawab dengan baik memandangkan persoalan agama dan akidah bukan perkara yang boleh direka-reka. Namun penemuduga tersebut sedikit sebanyak telah mengulas balik, dan memberi jawapan yang betul dan adakalnya memperbetulkan perkataan yang saya tersalah sebut. Untuk mengetahui jawapan-jawapan dari segala persoalan ini, sebaiknya kita membaca di sumber-sumber yang jelas dan boleh dipercayai seperti di laman web JAKIM. Dan menanyakan kepada orang yang lebih 'arif dan ahli dalam bidang ini.

Pengajaran yang saya dapat daripada pengalaman ini ialah : rupa-rupanya banyak lagi isu agama yang aku tak tahu dan tak dapat selesaikan. Aku kena banyak membaca dan rajin mengkaji dan menelaah buku-buku agama dan semasa, bukan waktu nak temuduga je baru sibuk nak cari maklumat... baru kelam kabut nak baca buku... sedangkan masalah ummah semakin meruncing dan perlu ditangani dan diselesaikan... Terima kasih ya Allah kerana telah menyedarkan aku... Seandainya aku tak berjaya mendapat jawatan ni sekalipun, aku sangat bersyukur kerana pengalaman temuduga ini telah memberiku ilmu yang sangat bernilai.... Alhamdulillah.

Kepada sahabat-sahabat, semoga berjaya....bittaufiq wannajah... bekerja untuk Islam!!!




Temuduga MARA Jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (Subjek Pendidikan Islam)

Temuduga ini berlangsung di Ibu Pejabat MARA, Kuala Lumpur.
Saya adalah calon terakhir ditemuduga pada sesi tersebut. Sempat menanya kenalan-kenalan yang ditemuduga sebelum saya. Ada yang diminta untuk bertaranum, bernasyid, soal hukum hakam dan sebagainya. Disini saya akan berkongsi soalan2 yang telah diajukan kepada saya.

1) Saya diminta untuk memperkenalkan diri dalam bahasa Inggeris, beserta pengalaman mengajar. Tidak ninafikan saya kurang mahir berbahasa Inggeris, namun saya tetap cuba untuk bertutur walaupun saya tahu banyak kesalahan yang saya dah buat.

2) Adakah hukuman rotan sesuai pada zaman sekarang? Soalan ini adalah soalan provok, setiap pandangan yang saya bagi pasti akan dipatahkan... soalan yang macam ni paling saya tak suka..namun saya tetap tersenyum walaupun pandangan saya dipertikaikan..

3) Seorang penemuduga bertanya :" Apakah kelebihan yang awak ada? Yang tak semua orang ada... Kalau mengajar, semua yang datang temuduga ni pandai mengajar... awak pandai taranum?"
- Saya mengatakan saya tidak pandai bertaranum...menghafal Quran juga tidak. Saya diam beberapa detik untuk memikirkan apa yg saya ada. Tetapi sememangnya saya tiada apa2. Saya berterus terang bahawa saya tiada kelebihan apa-apa melainkan menulis malah itu adalah hobi saya. Lantas saya menceritakan pengalaman saya pernah menjadi editor majalah Suara Kampus semasa belajardi Mesir dan pernah menyumbang bahan2 dan artikel di majalah tersebut. Penemuduga menanya adakah saya pernah berkarya? Lantas saya mengiyakan... Saya menceritakan saya suka menulis puisi atau sajak, dan pernah sajak saya keluar di dalam Majalah Dewan Siswa. "Pernah awak mendeklamasikan sajak?" Saya terkedu dengan soalan itu. Tidak!!!! Akhirnya saya diminta untuk bangun mendeklamasikan sajak secara spontan... Lantas saya memaksakan diri untuk menebalkan muka dan memerah otak untuk mencipta bait-bait sajak itu....namun hanya 3 baris yang saya dapat persembahkan dan terus diam kerana kehilangan ide...

3) Soalan seterusnya, saya ditanya mengenai sukan. Saya tidak mempunya sebarang sijil berkaitan dengan sukan dan permainan... Mereka tanya apakah sukan yang pernah saya main. Lantas saya menyebut bola jaring. Catur juga saya minat dan sering menang di dalam pertandingan. Saya juga pernah main futsal sewaktu di mesir. Futsal? Mereka terkejut... Ya, pastinya ramai yang tidak percaya saya seganas itu. Perlawanan sesama pelajar perempuan di padang Mukhaiyyam Daim, Kaherah. Saya sendiri tidak berminat dengan permainan itu namun untuk menyelamatkan pasukan rumah saya yang kekurangan orang terpaksalah main juga. Namun saya mungkin kekurangan markah pada aktiviti kokurikulum dan sukan ini.. kerana saya tiada sijil untuk membuktikannya.

Hanya itu sahaja soalan-soalan yang diajukan pada saya. Bila difikir-fikirkan semula, sepertinya saya tidak layak untuk menjadi seorang guru di sekolah-sekolah yang hebat seperti MRSM.



Temuduga KPLI-jQAF

Temuduga ini mempunyai 3 sesi.

1) Sesi pertama adalah esei Bahasa Arab. Dua tajuk diberikan dan hanya pilih satu. Esei sekitar 150 patah perkataan. Saya memilih tajuk "Punca Pelajar Lemah Dalam Menguasai Bahasa Arab"

2) Sesi kedua adalah secara berkumpulan. Setiap kumpulan diberi tajuk untuk diperbincangkan dan diperhatikan oleh Penemuduga.

3) Sesi ketiga ialah perseorangan. Anatara soalan yang diajukan pada saya:
- Membaca surah al-Fatihah
-Hukum-hukum tajwid yang ada di dalam surah tersebut
-Pembahagian air dan maksud air musyammas
-Ejaan jawi bagi beberapa perkataan
-Kenapa saya memilih jawatan ini

Sekadar ini yang dapat dikongsikan, moga ia bermanfaat buat mereka yang memerlukan.