Kehidupan adalah satu perjuangan... Berjuang untuk melawan segala musuh yang menghasut manusia kepada kelalaian dan kesesatan...Berjuang untuk manjadi hamba Allah yang bertaqwa...Selagi nafas belum terhenti selagi itu perjuangan perlu diteruskan...Moga Allah memberi sebuah kemenangan diakhir pertempuran...
Thursday, August 19, 2010
Tazkirah Ramadhan
Tajuk Buku : Tazkirah Ramadhan
Oleh : Abu Ruwais al-Syubrawi
Kelolaan : Maahad Ad-Da'wah al-Islamiyah
Cetakan : Nabila Publications
Bil. M/Surat : 36
Saya telah selesai membaca buku ini pada tarikh 18 Ogos 2010. Buku yang bertajuk Tazkirah Ramadhan ini membawa tajuk fokus "Ramadhan Bulan al-Quran". Sangat menarik kupasan yang dipersembahkan di dalam buku ini. Sedikit sebanyak memberi semangat pada diri untuk menjadi ahli al-Quran, insyaAllah... Sekadar ingin berkongsi disini, saya akan menyenaraikan tajuk-tajuk kecil yang ada dalam buku ini tanpa menghuraikannya dengan panjang lebar. Rasanya, dengan membaca tajuk sahaja sudah memadai untuk dijadikan tazkirah ringkas.
SUNNAH MENGKHATAMKAN AL-QURAN PADA BULAN RAMADHAN
Firman Allah SWT yang bermaksud:
“(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa ialah) pada bulan Ramadhan yang mana diturunkan al-Quran pada bulan itu. Ia menjadi petunjuk bagi seluruh manusia, menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjelaskan perbezaan antara yang benar dengan yang salah.”
-Surah al-Baqarah :185.
AL-QURAN MAMPU MENGGETARKAN JIWA
Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman(sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama ALLAH(dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, maka bertambahlah iman mereka, dan kepada Tuhan jualah mereka berserah”
Surah al-Anfal :2
SATU HURUF BERSAMAAN SEPULUH PAHALA
Menurut Abdullah Bin Mas’ud r.a, Nabi SAW telah bersabda yang bermaksud:
“ Sesiapa yang membaca satu huruf daripada kitabullah, baginya satu hasanah(kebaikan). Satu kelebihan itu bersamaan sepuluh kali ganda. Aku tidak pernah mengatakan bahawa alif lam min itu satu huruf. Tetapi, alif itu satu huruf, lam itu satu huruf, dan mim itu satu huruf.”
Hadith sohih riwayat al-Tirmizi,al-Darimi, dan selainnya.
BEZA MUKMIN DAN MUNAFIK YANG MEMBACA AL-QURAN
Menurut Abu Musa al-Asy’ari r.a, Nabi SAW telah bersabda yang bermaksud :
“Perumpamaan orang mukmin yang membaca al-Quran seolah-olah seperti buah al-Utrujah. Baunya wangi dan rasanya juga sedap. Perumpamaan orang mukmin yang tidak membaca al-Quran seperti buah kurma. Tidak berbau tetapi rasanya manis. Perumpamaan orang munafik yang membaca al-Quran seperti raihanah. Baunya wangi tetapi rasanya pahit. Manakala munafik yang tidak membaca al-Quran pula seperti hanzolah. Tidak berbau, dan rasanya terlalu pahit.”
-Hadith riwayat al-Bukhari,Muslim,al-Tirmizi,al-Nasaai dan Abu Daud-
*Orang munafik akan rasa gelisah apabila menemui ayat-ayat hukum dan jiwa mereka memberontak dengan apa yang diharamkan oleh Allah. Justeru mereka usaha untuk memutarbelitkan makna al-Quran. Mukmin yang sejati akan melaksanakan segala perinyah Allah dan meninggalkan segala larangan Allah tanpa mempersoalkannya.
TADABBUR AL-QURAN MENAMBAHKAN KETAQWAAN
Allah telah berfirman yang bermaksud:
“Sekiranya Kami turunkan al-Quran ini ke atas sebuah gunung, pasti engkau(Muhammad) akan melihat gunung itu khusyu’ dan terbelah hancur kerana takut kepada Allah. (ingatlah) semua perbandingan ini Kami kemukakan kepada umat manusia supaya mereka memikirkannya.”
Surah al-Hasyr :21
AL-QURAN SUDAH DITINGGALKAN
Menurut Jabir r.a, Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud :
“Al-Quran adalah pemberi syafaat yang amat berguna dan pasti membelanya kelak . Sesiapa meletakkan dia di hadapannya, (sebagai penyuluh jalan) ia akan memimpinnya ke syurga. Manakala sesiapa yang membelakangi al-Quran, ia pasti memimpinnya ke neraka.”
-Hadith riwayat al-baihaqi, al-Tobrani, dan selainnya.
RUMAH SUNYI DARIPADA BACAAN AL-QURAN
Menurut Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud:
“Janganlah engkau jadikan rumah-rumah kamu seperti tanah perkuburan. Sesungguhnya syaitan akan beredar dari rumah yang dibacakan surah al-Baqarah di dalamnya.”
-Hadith riwayat Muslim-
AHLI AL-QURAN BERSAMA NABI SAW
*Cinta al-Quran bermakna cintakan Rasul. Sesiapa yang ingin mendampingi Rasul, dia hendaklah sentiasa mendampingi al-Quran kerana baginda tidak pernah meninggalkan al-Quran dan sentiasa berakhlak dengan apa yang diterangkan oleh al-Quran.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :
“Seseorang itu dibangkitkan bersama orang yang dicintainya.”
-Hadith riwayat al-Bukhari-
BELAJARLAH AL-QURAN
Menurut Uthman Bin Affan r.a, Nabi SAW telah bersabda yang bermaksud :
“Terbaik antara kamu semua ialah orang yang mempelajari al-Quran kemudian mengajarnya kepada orang lain.”
-Hadith riwayat al-Bukhari, Abu Daud, dan al-Tirmizi-
CARA TERBAIK MENUJU KE SYURGA
Menurut Abu Hurairah r.a, Nabi SAW telah bersabda yang bermaksud :
“Sesiapa menempuh jalan yang dipenuhi dengan menuntut ilmu, ALLAH pasti mempermudahkan baginya jalan menuju ke syurga. Tidaklah suatu golongan yang berhimpun di rumah Allah sambil membaca dan mempelajari Kitabullah antara satu sama lain, melainkan Allah pasti menurunkan keterangan buat mereka, menyelubungi kerahmatan, dilindungi oleh para malaikat, dengan sayapnya dan Allah pasti menyebut-nyebut mereka kepada makhluk yang berada disisiNya.”
-Hadith riwayat Muslim dan Abu Daud-
PELAJARI ILMU TAFSIR SEBELUM BERLAKU ZAMAN FITNAH
Menurut Ibnu Abbas r.a, Nabi SAW telah bersabda yang bermaksud :
“Sesiapa mentafsirkan al-Quran menggunakan akalnya, tersedia tempat duduknya di dalam neraka.”
-Hadith Hassan riwayat al-Tirmizi-
*Zaman fitnah yg dimaksudkan ialah zaman di mana orang mula mempertikaikan isi kandungan al-Quran, saling bertelingkah dalam memahami isi kandungannya, dan pelbagai kerosakan lain.
BERUSAHA MENGHAFAZ AL-QURAN
Menurut Abdullah Bin Mas’ud r.a, Nabi SAW telah bersabda yang bermaksud :
“Seburuk-buruk perkara ialah seseorang berkata “Aku telah lupa ayat itu dan ini” sedangkan sebenarnya dia telah dilupakan. Oleh itu, berusaha keraslah untuk mengingati al-Quran kerana ia lebih cepat terlepas lari(lupa) daripada diri kamu berbanding binatang ternakan(terlepas).”
-Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim-
*Imam Syafie r.a pernah mengadu kepada gurunya Imam al-Waqi’mengenai hafazannya yang senakin merosot. Katanya :” Aku telah mengadu kepada waqi’ mengenai hafalanku yang merosot. Lalu dia menasihatkan aku agar meninggalkan maksiat. Dia memberitahuku bahawa ilmu itu cahaya. Sedangkan cahaya Allah tidak akan menunjukkan jalannya kepada ahli maksiat.”
TANPA AL-QURAN JIWA MENJADI KOSONG
DARJAT AHLI AL-QURAN
Menurut Umar al-Khattab r.a, Nabi SAW telah bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah mengangkat segolongan manusia dengan al-Quran dan membinasakan sebahagian yang lain dengannya.”
-Hadith riwayat Muslim-
MEMAKAIKAN MAHKOTA BUAT IBU BAPA
Menurut Sahl bin Mu’az bin Anas al-Juhani r.a, Nabi SAW telah bersabda yang bermaksud:
“Sesiapa membaca al-Quran dan mengamalkan isi kandungannya, dipakaikan kepada ibu bapanya mahkota pada hari kiamat. Cahayanya lebih terang daripada sinaran cahaya matahari jika ia menyinari rumah-rumah kamu di dunia. Oleh itu, adakah kamu masih ragu-ragu dengan apa yang kamu telah amalkan.”
-Hadith riwayat Abu Daud dengan sanad soleh-
AL-QURAN MEMBELA TEMANNYA
Al-Nawas bin Sam’an r.a pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
“Didatangkan pada hari kiamat al-Quran dan ahlinya yang pernah mengamalkan isi kandungannya ketika di dunia, lalu surah al-Baqarah dan Ali-Imran mendahului orang itu lalu membela tuannya di hadapan Allah.”
-Hadith riwayat Muslim-
KECELAKAAN UMAT YANG MEMPERMAINKAN AL-QURAN
Menurut ‘Uqbah bin ‘Amir r.a, Nabi SAW telah bersabda yang bermaksud:
“Kebanyakkan munafik daripada kalangan umatku terdiri daripada orang yang pandai membaca al-Quran.”
-Hadith riwayat Ahmad. Menurut Syu’ib al-Arnaut: Hadis ini bermartabat hasan lighairihi dan sanad hadis ini hasan-
*Munafik yang dimaksudkan ialah golongan yang mempermainkan agama dengan membacakan ayat al-Quran sambil mentakwil dengan makna yang bukan dikehendaki oleh Allah dan Rasul-Nya. Lalu mereka ini menyesatkan orang ramai.
Penutup
Kita sebagai umat nabi Muhammad SAW, sewajarnya mencontohi sunnah baginda serta berusaha untuk menjadikan Ramadhan pada tahun ini dipenuhi dengan bacaan al-Quran. Paling tidak berusahalah untuk mendengar bacaan al-Quran di surau atau di masjid oleh imam, atau di mana sahaja kita berada. Wallahu'alam.
Thursday, August 5, 2010
Pengemis Jalanan
Ini kisah benar. Kisah pengalaman diri merenung kehidupan pengemis-pengemis jalanan yang menyentuh hati. Pengalaman ini pasti ramai yang pernah mengalaminya. Namun bagiku episod hidupku kali ini sedikit sebanyak mampu membantu diriku untuk memdidik hati, akal, dan perasaan supaya menjadi manusia yang “sedar diri”.
Di bumi Mesir terdapat ramai pengemis di jalanan berbanding Malaysia. Dari usia kanak-kanak hinggalah orang tua berbongkok tiga. Dimana-mana sahaja terdapat. Ditepi jalan, di dalam bas, di kaki lima. Aku pernah dikejar oleh seorang kanak-kanak lelaki berusia dalam lingkungan 4tahun. Berpakaian compang camping dan berkaki ayam. Tidak cukupkah wang yg didapati saban hari. Haruskah aku memberinya saban waktu. Bagaimanakah jika setiap hari aku melalui jalan itu. Adakah hari-hari aku harus menghulurkan untuk menyelamatkan diri dari dikejar? Dunia kadangkala menguasai hati membuatkan aku terlalu berkira dengan harta yang bukan mutlak milikku. Harta yang cuma diberi pinjam oleh Allah. Aku pernah membenci kanak-kanak itu kerana dia menyembur air dari mulutnya ke arahku membuatkan pakaianku kotor. Ini berlaku gara-gara aku tidak memberinya wang. Namun apalah kanak-kanak sebesar itu mengerti, yang pasti dia terdesak! Mungkin terdesak dengan perintah ibunya…atau dengan apa sekalipun. Satu petang aku melewati jalan itu lagi. Kanak-kanak itu terlalu girang nampaknya. Kedua-dua tangannya memegang ‘aish yang dilihat begitu lazat. Siapalah agaknya yang belikan.. Dia makan dengan begitu lahap sambil berjalan dan tiba-tiba… kakinya terlanggar seketul batu membuatkan 'aish yang ditangannya tercampak ke tengah jalan. Sayur-sayur yang berada di dlam 'aish itu juga ada yang terkeluar. Seorang lelaki muda membantu kanak-kanak itu untuk berdiri semula. Kanak-kanak itu menguis lututnya yang sedikit luka. Setelah itu dia memandang ke arah 'aish tadi yang pastinya sudah tercemar dengan debu-debu jalan. Serta-merta dia berlari ke arah makanan itu dan mengambilnya semula. Aku lihat tangannya begitu erat memegang aish itu kembali dan meniup-niup untuk menghilangkan debu pada roti itu. Lalu dia meneruskan perjalanan dengan langkah yang longlai sambil menikmati semula roti itu. Inilah pemandangan yang betul-betul membuatkan aku rasa tertampar. Akulah manusia yang paling sombong dan bakhil… bakhil dengan rezeki yang dipinjamkan dan bakhil daripada mengucap syukur!
Peristiwa itu berlaku di kota Kaherah. Di desa Mansurah tempatku menuntut ilmu juga apa kurangnya... Ada pengalaman yang Allah berikan padaku untukku jadikan i'tibar. Dua kisah inginku coretkan. Kisah pertama mengenai seorang nenek tua yang sering duduk di kaki lima deretan kedai yang usang. Saban hari nenek itu memakai pakain bewarna hitam yang agak lusuh. Wajahnya kedut seribu. Pandangannya yang layu betul-betul menusuk kalbu. Hatiku tidak tega tubuh yang lemah itu lesu dibahu jalan menadah tangan meminta-minta belas ihsan dari setiap orang yang lalu. Dia duduk betul-betul di lorong laluanku ke kuliah. Namun kadang-kadang dia wujud, kadang-kadang tiada. Bila tiada, pasti aku terfikir, sakitkah dia hari ini? Suatu pagi yang hening… dari jauh aku sudah terlihat kelibatnya. Kuselup poket dengan segera mencari-cari jika ada duit. Sedikit hampa, yang ada hanya LE0.25 (20sen). Ketika langkahku semakin hampir dengannya, dia terus menadah tangan kepadaku yang langkahku belum pun lagi tiba disisinya sambil mulutnya berkata…”sayangku, semoga Allah memberikan kamu kejayaan…” suaranya sedikit ketar memandangkan usianya yang terlalu tua. Matanya tepat memandangku dengan penuh harapan. Betapa mulianya pengemis ini, bersungguh-sungguh mengharap Allah memberi balasan kepada orang yang memberi sedekah kepadanya. Walhal belum tentu lagi orang yang lalu disitu menghulurkan.. Itulah yang aku dengar setiap kali melintasi kelibatnya walaupun aku tidak menghulurkannya apa-apa, doanya tetap kudengar sampailah jarakku jauh dengannya. Dia seolah-olah menjual doanya dengan nilai maksimun 20sen. Sedangkan bagiku doa yang tulus itu tidak ternilai dengan wang… terlalu mahal! Jauh di disudut hatiku menjerit, “Nenek, jangan dengarkan doa itu ditelinga saya!”
Kisah kedua ini mengisahkan seorang pakcik yang kukira kewujudannya agak misteri. Dia suka duduk di kaki lima berhampiraan lorong rumahku. Syari’ Furn..Dia sehelai sepinggang dan hanya duduk memerhatikan kelibat-kelibat manusia yang lalu lalang di depannya. Aku tidak pernah melihatnya berborak-borak dengan orang sekeliling apatah lagi untuk bergelak ketawa. Namun adakalnya dia suka bertukar-tukar tempat duduk. Aku pernah terjumpa dia duduk di satu lorong yang jauh dari lorong rumahku. Namun seperti biasa dia hanya duduk memerhatikan orang-orang yang lalu lalang. Memang pelik. Nak kata pengemis , sekali pun tak pernah aku lihat dia meminta sedekah. Dia pernah mengejutkan aku hingga jantungku sedikit berdebar, ketika mana aku ke pasar , aku dapati dia duduk di tempat biasa berdekatan dengan rumahku. Sekembalinya aku dari pasar, aku menggunakan jalan yang lain, dan aku sangat-sangat terkejut bila terpandang wajahnya duduk berteleku disitu. Renungan matanya agak tajam memerhatikan orang membuatkan aku takut untuk bertentang mata dengannya.
Pada suatu pagi, dia beralih tempat lagi. Kali ini dia duduk dilorong rumah Nora, rakan sekuliahku. Kebetulan aku ingin kerumah Nora. Kali ini dia duduk di tempat yang ceruk, melindungi diri dari terik panas barangkali. Wajahnya pucat. Tubuhnya tersandar di dinding bangunan manakala tangannya memeluk tubuh. Aku dapat rasakan bahawa dia seolah-olah sedang menahan lapar… Tubuhnya kelihatan tersangat lemah. Aku terus melangkah ke rumah Nora sambil memikirkan hal Pakcik tadi. Kalau betul dia tengah lapar, kenapa dia tidak meminta seperti peminta-peminta sedekah yang lain. Kenapa hanya membisu dan memerhati orang yang lalu. Beberapa jam berlalu. Aku melangkah pulang dari rumah Nora. Dari jauh kulihat kelibat Pakcik itu masih duduk disitu. Aku bertekad untuk menghulurkannya sedikit wang walaupun hakikatnya aku takut. Takut sekiranya dia menolak atau menghalau, atau menjerkah aku. Suara orang Arab, cakap sikit pun orang keliling boleh dengar. Malu aku nanti. Langkahku semakin dekat menghampirinya. Dalam tangan sudah tersedia duit kertas bewarna hijau. Moga-moga cukup untuk menampungnya selama beberapa hari. Aku berhenti betul-betul di depannya. Jelas wajahnya tidak bermaya. Aku menghulurkan wang itu sedang hati berdebar. Dia merenung tepat pada mataku lalu mengambil duit itu dan tak semena-mena dia mengangkat kedua belah tangannya seperti kelakuan seorang rakyat ketika menghadap Sultan sambil mulutnya mengungkap “syukran, syukran, syukran ya bintiy.. syukran!” kepalanya mengangguk-angguk sambil menghadiahkan sebuah senyuman kepadaku. Kelihatan matanya sedikit berkaca. Aku betul-betul terkejut dengan kelakuannya.. aku hanya membalas anggukan tersebut dan menghadiahkan padanya senyuman yang telah lama aku simpan untuknya. Lantas aku bergegas melangkah pulang sebelum ada mata-mata yang melihat kejadian itu. Selepas kejadian itu aku sering memikirkan Pakcik tersebut. Kenapa dia tidak meminta sedekah sedangkan hakikatnya dia sangat memerlukan? Pakcik, mungkinkah pekrtimu dan peribadimu sama seperti orang-orang muhajirin yang telah Allah sebutkan dalam surah al-Baqarah ayat 273? Pakcik, sungguh mulia peribadimu!
Adik, Nenek, Pakcik, ingatkah kalian bahawa Rasulullah saw pernah menyaksikan bahawa di dalam syurga ramai dari kalangan kalian yang bertaqwa? Syaratnya Taqwa.. Aku mendoakan kalian diantara mereka... semoga penderitaan kalian disini mendapat balasan nikmat di sana....Aku? Aku juga sang pengmis yang mengharap doa-doa dari kalian, moga ada tempat untukku bersama-sama kalian di sana...
Aku pengemis jalanan
Singgah bermukim di perkampungan fana’
Menyelusuri lorong-lorong hidup
Menuju destinasi kekal
Kumerewang diperjalanan ini
Mengemis pahala dan keampunan
Mengemis doa dari insan
Agar dapat kujadikan bekal di sana
Buat bayaran mahar sebuah syurga
Atau tebusan sebuah neraka
Moga rahmat-Nya kuterima.
nisaul_kifah
Subscribe to:
Posts (Atom)