Wednesday, June 30, 2010

Bingkisan-bingkisan dari yang tersayang

Tanggal 28/6/2010 adalah tarikh terakhir perkhidmatanku sebagai pendidik di Sek.Men.Kebangsaan Raja Perempuan Kelsom, Kuala Kangsar. Ini kali pertama perpisahan yang meruntunkan hati setelah bergelar guru. Andai suatu hari cebisan2 ini hilang dimamah usia, mungkin boleh kujenguk kenangannya di dalam blog ni.









Dari pelajar 2KAA. Mereka adalah insan2 yang pertama mengetuk pintu rumahku bertanya khabar dan memintaku untuk mengajar mereka bahasa Arab. Dan merekalah insan2 yang pertama menemani malam2ku yang sepi… Sebuah syair Arab dihadiahkan untukku di hari akhir…









Dari ketua kelas 1KAA. Seorang yang murah senyuman dan bertanggungjawab. Kesal kerana tidak dapat memenuhi permintaannya untuk bermalam dirumahku… Satu helaian kertas bewarna oren dihulurkan ketika kakiku melangkah untuk meninggalkan kelas itu buat selamanya…
















Dari Pelajar Kelas 3KAA. Mula mengetuk pintu rumahku setelah minggu kedua keberadaanku. Konon nak suruh ajar bahasa arab, namun lain jadinya. Mereka tak ubah seperti wartawan yang tak putus2 menyoal tentang diriku dan pengalamanku di rantau orang…Malam itu tak lebih dari sesi berta’aruf yang panjang. Hasilnya, ukhuwah yang begitu mantap antara ustazah dan anak murid. Hari-hari yang berikutnya, mereka sering datang ke rumah untuk belajar. Mereka sangat ceria dan friendly…mulut murai pun ye. Setiap kali nak pergi tuisyen pasti akan singgah di tingkap bilikku dan melaung “ustazah, kami nak gi tuisyen ni… ustazah jaga diri baik2 ye…” dan apabila balik, mereka singgah lagi…”ustazah, kami dah balik… nanti kita jumpe ye” setiap kali dengar suara mereka, aku akan tersenyum… betul2 menghiburkan. Dan merekalah juga antara muka-muka yang duduk di saff paling hadapan ketika solat jemaah di surau… dan mereka jugalah yang selalu menjadi imam.. tahniah buat kalian! Moga ada pertemuan lagi buat kita…

gambar kenangan buah hatiku....

Sunday, June 27, 2010

Nasihah Li Islaahil Buyuut


Kitab kecil ini telah dihadiahkan oleh Biro Perumahan DPM Mansurah kepada semua musyrifah (Ketua rumah di Mansurah) bersempena ijtima’ Solehah (ISLAH 06). Ketika itu saya adalah musyrifah bagi Bait Nur al-Furqan. Ingin sekali berkongsi maklumat-maklumat penting yang saya dapat daripada “kutaib” yang terlalu kecil namun penuh dengan ilmu ini.

Harga : LE0.75 (RM 0.50)
Pengarang : Muhammad Sooleh al-Munjeed
Tajuk : 40 Nasihat Untuk Memperelokkan Seisi Rumah (Li Islaah al-Buyuut)
Terbitan : Maktabah as-Sofaa’

Kutaib ini menerangkan langkah-langkah yang perlu diambil untuk menjadikan seluruh keluarga yang menetap di dalam sebuah rumah tersebut menjadi individu2 muslim yang akan membentuk masyarakat muslim yang baik. Buku ini nampaknya ditujukan khusus kepada lelaki sebagai ketua keluarga, namun ianya juga sangat bermanfaat untuk pengetahuan mereka yang bergelar isteri mahupun sesiapa sahaja yang bergelar individu muslim.

Antara dorongan untuk mengislah keluarga (seisi rumah) antaranya…
-Perintah Allah supaya mencegah diri dan keluarga dari api neraka dan selamat daripada azab yang membakar. Lihat (Surah at-Tahrim: ayat 6)

Antara cara-cara mewujudkan atau mengelokkan (islah) sesebuah keluarga yang telah disarankan di dalam buku ini :

1)Pemilihan isteri yang baik.
Lihat (Surah an-Nur ayat :32)

Sabda Rasulullah SAW:
قال النبي : تنكح المرأة لأربع لمالها ولحسابها ولجمالها ولدينها فاظفر بذات الدين تربت يداك

Maksudnya : Dinikahi seorang wanita kerana empat perkara : harta, keturunan, kecantikan dan agamanya. Pilihlah yang beragama, kamu pasti beruntung. ( Hadith riwayat Bukhari )

Sekiranya seorang lelaki berkahwin dengan perempuan yang kurang dari segi agama, maka wajib bagi lelaki untuk mengislahkan isterinya.

Antara wasilah-wasilah memperbaiki isteri:
-Memperbaiki ibadahnya seperti wudhu’, solat, dan sebagainya.
-Membaca al-Quran
-Menjaga zikir-zikir mengikut waktu-waktu yang sesuai
-menggalakkan isteri untuk bersedekah
-Membaca buku-buku islami yang bermanfaat
-Mendengar kaset Islami dan ilmiah
-Memilih kawan untuk isteri dari kalangan wanita-wanita yang soleh dan ahli agama
-membenteras perkara-perkara buruk dari isteri serta menjauhkannya daripada berkawan dengan orang yang tidak elok dan menjauhinya daripada tempat-tempat yang tidak elok.


2) Menjadikan rumah sebagai tempat untuk mengingati Allah

3) Jadikan rumah sebagai qiblat
-Yang dimaksudkan ialah menjadikan rumah tempat beribadat

4)Pendidikan Agama untuk ahli rumah

5)Mengambil cakna dengan zikir-zikir (doa-doa) dan perkara-perkara sunat yang berkaitan semasa di rumah
-Contoh : doa ketika masuk rumah, ketika makan, dan sebagainya.

6) Membaca surah al-Baqarah di rumah untuk menghalau syaitan.
-Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : (Bacalah surah al-Baqarah di rumah-rumah kamu, sesungguhnya syaitan tidak memasuki rumah yang dibaca surah al-Baqarah padanya).

7) Mengajar ahli rumah
-Mengajar dan mengajak kepada perkara yang makruf dan mencegah mereka dari kemungkaran

8) Membuat satu ruangan maktabah (perpustakaan mini) Islami di rumah
- Antara buku-buku yang penting untuk dimiliki setiap rumah ialah Tafsir, Hadith, ‘Aqidah, Feqah, Akhlak dan Pembersihan jiwa, dan Sirah.

9) Menjemput orang-orang yang soleh,baik, dan para penuntut ilmu untuk datang ziarah ke rumah

10) Membuat perjumpaan bersama ahli keluarga bagi membincangkan maslah-maslah yang berlaku berkaitan keluarga

11) Tidak membawa masuk orang yang kamu tidak redhoi agamanya

12) Berusaha untuk berada di rumah

13) Memerhati dan mengambil tahu hal keadaan ahli rumah
- Contohnya: Siapa kawan kepada anak2? Apa yang anak2 lakukan di luar rumah? Apa yang berada di dalam beg dan di bawah bantal mereka, dan sebagainya…

14) Mengambil perhatian terhadap kanak-kanak di rumah
-membaca dan manghafal al-Quran
-membaca cerita-cerita dan kartun-kartun islami atau yang berfaedah
-memisahkan tempat tidur anak lelaki dan perempuan
-bergurau dan berlemah lembut dengan kanak-kanak

15) Mengatur waktu tidur dan urusan-urusan yang lain

16) Menjaga rahsia-rahsia keluarga

- Terutama rahsia antara suami isteri

17)Menghidupkan sifat lemah lembut terhadap keluarga di rumah

18) Saling bantu-membantu dikalangan ahli rumah di dalam membuat dan menguruskan kerja rumah
-Kebanyakan lelaki menyerah segala urusan rumah terhadap isteri. Sesungguhnya Rasulullah pernah menjahit bajunya sendiri, memasang kulit kasutnya, dan sebaginya seperti kebiasaan orang lain. Bagi mereka yang turut membantu melakukan kerja di rumah, ada beberapa kebaikan yang akan diperolehi. Antaranya : -Dapat mengikut akhlak Rasulullah
- Dapat membahagiakan ahli keluarga
- Akan datang rasa tawadhu’ dan akan memadamkan rasa takabbur

19)Menentang akhlak-akhlak buruk di rumah
-Seperti menipu, mengumpat, dan sebagainya.

20) Menggantung rotan di mana dapat dilihat oleh ahli rumah
-sebagai tanda ‘iqob atau peringatan atas tujuan tarbiah

21) Memilih tempat dan keadaan rumah sebelum diami
-Contoh rumah yang berdekatan dengan masjid atau surau, tidak duduk satu bangunan dengan orang2 fasiq atau kafir, tandas rumah tidak menghala kearah qiblat ketika digunakan….dan sebagainay.

22) Memilih jiran sebelum memilih rumah

23) Mengambil berat tentang kesihatan ahli-ahli rumah.


Inilah sedikit sebanyak yang dapat saya kongsikan apa yang terkandung di dalam Kutaib ini. Bagi saya, ianya juga sesuai ditujukan untuk para isteri sebagai penolong kepada suami dalam membentuk biah solehah dalam keluarga. Seandainya kita tak dapat nak laksanakan semua, jangan tinggal semua… wallahu’alam ma lam ‘alam…

Nostalgia Bunga Mawar


Semasa di Tahun 2 di Mansurah,Mesir, Noreha, kawan studygroup memperkenalkan aku sebuah kedai bunga di daerah Salaam, Mansurah. Pelbagai bunga hidup ada dijual dengan harga yang agak murah. Sejak itu aku berkongsi hobi dengan Nor, iaitu membeli bunga mawar merah. Sekuntum beharga LE0.50. Selalunya, aku akan beli dua atau tiga kuntum untuk sekali belian. Aku meletakkan bunga mawar tersebut di dalam botol kaca yang berisi air supaya tahan lama. Kebiasaannya, cukup seminggu, layulah bunga tu. Sejak itu meja studyku dihiasi bunga mawar. Kononnya nak dapatkan mood untuk study. Aku akan cium bunga tersebut setiap kali hendak memulakan study dan setiap kali hendak tidur. So, selalulah kami ke kedai tersebut untuk membeli bunga mawar sebaik sahaja bunga yang ada telah layu. Namun.. pada suatu malam ketika nyenyak tidur… ntah kenapa aku bermimpi bunga yang berada di atas meja tersebut membesar, dan terus membesar.. tinggi… dan mengembang…dan terus mengembang… suasana tersebut amat menakutkan. Ketika kaki hendak melangkah untuk lari dari bunga tersebut, tiba2 aku terjaga…fuh, mimpi rupanya… astaghfirullah hal ‘azim… aku melihat bunga yg berada di atas meja.. alhamdulillah.. tetap seperti asal. Namun mimpi itu betul-betul mempengaruhi emosiku. Sejak itu, setelah bunga itu layu, aku terus membuang botol tersebut, dan tidak lagi menjejak kaki ke kedai itu untuk membeli bunga… Hikmahnya, jimat duit... daripada beli bunga, lebih baik beli benda lain yang lebih berfaedah… Terima kasih Nor…:)

Sunday, June 13, 2010

Hari-hari yang kulalui


Tika malam ini berseri
kulihat bahagia di esok hari
bila langkahku tiba
rupanya derita yang menyapa
petang ini kuketawa
kurenung malam
mungkinkah indah bintang
belum senja berundur diri
ribut taufan sedia menanti
esok yang kulihat derita
rupanya bahagia yang kulalui
tiada lagi sangkaan hamba
yang tinggal hanya doa dan harapan
jua pasrah padaMu atas segala ketentuan..

nisaul_kifah -Mac 2010

Friday, June 11, 2010

Cerpen : Dendam Sebuah Kitab

Pengenalan : Saya adalah antara orang yg kuat berangan dalam dewan kuliah. Orang kelantan kata "koya" Berangan adalah perkara diluar kawalan buat saya. Cerpen ini adalah cetusan kahayalan saya ketika belajar subjek "Perbandingan Agama" dan ketika itu pensyarah sedang membincangkan soal agama yahudi dan kitab Talmud iaitu kitab yg menjadi pegangan mereka. namun cerpen ini telah di bedah oleh Ustaz Zaki dari Johor, dan banyak teguran yg saya terima.. saya bukan "orang sastera", sebab itu, cerpen saya hanya layak untuk dibakul sampahkan... Ustaz Azman alkurawi juga sudah membedahnya, dan banyak tanda merah yg ditanda pada cerpen ini. namun saya amat terkejut, apabila dihantar ke pertandingan cerpen anjuran Keluarga Pelajar2 Islam Perak Mesir, cerpen ini menjadi johan...namun tidak hairan, kerana kurang penyertaan... jika ramai penulis-penulis yg hebat menyertainya, sudah tentu cerpen saya ini tidak tersenarai dan tidak dipandang... Namun cerpen ini masih belum dibaiki walaupun banyak kesalahan.... sekadar berkongsi dg pembaca dan menjadi kenangan untuk diri di masa akan datang....

DENDAM SEBUAH KITAB

OLEH Nisaul Kifah

(SHARIFAH KHAIRUNNISA SYED MUHAMMAD RAFEII)

"DENGAN nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih. Katakanlah wahai Muhammad, Dialah Allah yang Maha Esa. Allah yang dituju untuk meminta hajat. Dia tidak beranak dan tidak juga diperanakkan. Dan tidak ada satupun yang menyerupainya."

Terasa hatiku ditujah kesyahduan yang mula menampakkan titik-titik kebenaran. Inikah Tuhan yang kucari selama ini. Kenapa dia berada di dalam kitab al- Quran tidak di dalam kitab Talmud? Amat berbeza sifat Tuhan yang diceritakan di dalam al- Quran berbanding di dalam kitab Talmud. Kekeliruanku semakin mencengkam membuatkan aku seperti si gila yang tak berpedoman dan hilang punca. Ah, mengapa jiwaku mudah tewas, begitu mudah mempercayai dan terkesan dengan Al Quran! "Itu bukan pegangan engkau John, jangan mudah terpedaya. Engkau adalah manusia terpilih.." Aku bermonolog di dalam hati, cuba untuk melawan gelodakan hati.

Langit mencuka penuh bengis, hitam pekat membayungi bumi. Petir dan guruh bersahut-sahutan menyambar silih berganti. Bumi basah dipanah hujan bertalu-talu menerjah ke dalam tanah. Angin kencang menari-nari gembira kesana sini menyakat penghuni bumi. Suasana begini amat selesa bagi penyelam alam mimpi bersama bantal dan selimut disisi. Suasana begini juga amat menyesakkan dan menggerunkan bagi si fakir yang merempat dan pelarian yang kehilangan. Fikiranku terus membayangkan rakyat Palestin yang hilang tempat berlindung. Kelihatan diluar jendela suram dan kabur. Suasana begini begitu menggerunkan aku. Kekadang aku tersentak dikejut dentuman kilat yang kuat. Adakah ini petanda murka Tuhan? Bagaimana agakya hari kiamat yang diceritakan di dalam al-Quran itu. Pastinya lebih dahsyat. Ah, Aku sudah mempercayai al-Quran? Tidak! Sekali lagi aku tewas.

I

Hari ini telah datang berita gembira bagi bangsaku. Hampir tiga ribu rakyat Islam Palestin telah terbunuh di dalam letupan bom pagi tadi. Puak Yahudi bertepuk tangan bersorak sarai kerana nikmatnya melihat bangsa-bangsa yang dianggap sebagai anjing dan keldai dalam ajaran kitab Talmud itu diseksa dan dibunuh. Aku keliru dan bingung. Kadangkala kusumpah seranah diri yang nampaknya semakin hari semakin tawar hati untuk meneruskan perjuangan agama dan bangsaku. Semakin hari aku semakin muak melihat kejadian yang berlaku. Peperangan, rusuhan, letupan.. sedang rakan-rakanku yang lain berkobar-kobar penuh semangat untuk terus merialisasikan cita-cita agama dan bangsa, membina negara yang diimpikan dan menguasai dunia yang sememangnya hak manusia suci.

Banglo mewah yang terletak ditengah-tengah kota New York ini dahulunya kurasakan amat meriah dan indah. Kini terasa seperti berada di dalam gua yang kelam dan membelengu. Namun terdetik dihati berbangga dengan ayah yang begitu gigih berusaha hingga kami sekeluarga dapat mengecapi kemewahan yang tidak terhingga. Ayah yang berasal dari keluarga susah sebagai pelarian, mula menceburi bidang perniagaan dan kini sudahpun bergelar Pengurus Besar sebuah restoran makanan segera yang kini cawangannya tersebar luas keserata dunia.

Fikiranku mula melayang-layang, terbang menghinggap kedahan-dahan memori silam. Terbayang kisah silam, 21 tahun yang lampau, ketika banglo ini belum terbina, ketika hidup masih melarat, dan ketika basikal menjadi tunggangan utama untuk ayah ke tempat kerja. Ayah pulang dari kerja dengan mimik muka kelihatan lesu dan suram. Ditangannya terdapat setengah biji buah tembikai merah.

"Ayah, tadi ayah kata nak belikan sebiji tembikai untuk kami. Mana lagi separuh, ayah? Kenapa ayah beli sikit sahaja?" Aku bertanya kehairanan.

"Di dalam perjalanan pulang tadi, ayah disekat oleh beberapa orang Islam. Mereka merompak ayah dan mencuri separuh lagi tembikai ini." Ayah bersuara perlahan.

"Kamu ingat John, kita adalah bangsa yang paling mulia di dalam dunia ini, cuma kita masih belum ada kuasa dan selalu ditindas. Bila kamu dah besar nanti, ayah mahu kamu jadi pejuang agama kita dan membalas dendam terhadap umat Islam yang kejam itu!"

Ayah berbisik meluah dendam. Semenjak itu di hatiku mula tertanam kebencian yang mendalam terhadap umat Islam. Di sekolah, hampir setiap hari kudengar cerita tentang kejahatan dan kekejaman umat Islam. Pemikiranku dan rakan-rakan yang lain dibasuh setiap hari agar membenci sepenuh hati manusia yang bergelar muslim.

II

"John, aku rasa strategi orang-orang besar kita untuk menghancurkan umat Islam tak lama lagi akan menjadi realiti."

Zack, sahabat seperjuanganku meluahkan kata-kata itu diiringin sebuah senyuman yang penuh makna.

"Kenapa kau kata begitu?" Aku cuba menguji.

"Engkau tak perasankah? Cuba kau lihat dan perhati umat-umat Islam diseluruh dunia. Di Mesir, Indonesia, Malaysia...Pemuda-pemuda Islam di sana telah terpengaruh dengan tipu daya kita. Mereka sekarang tengah lalai dengan hiburan-hiburan yang mengasyikkan. Rokok, arak, melepak...Yang berpegang teguh pada ajaran agama hanya golongan tua. Aku rasa, beberapa tahun yang akan datang, akan hancurlah umat Islam dan waktu itu mereka semua akan menjadi hamba kita sepertimana seekor keldai yang bodoh, hah,hah!”

Zack ketawa penuh bongkak. Dia yakin apa yang dikatakan di dalam kitab Talmud itu benar. Benar bahawa manusia lain itu sama tarafnya dengan anjing dan keldai.

"Zack, aku tidak pikir begitu. Engkau tidak tahu satu perkara. Di sana masih ada ramai golongan pemuda Islam yang berpegang teguh dengan ajaran Islam. Cuma mungkin kita tidak sedari dan tidak nampak. Mereka ini mempunyai semangat juang yang tinggi, sanggup mati demi agama itu terus hidup."

Aku bersuara penuh yakin agar Zack menyedari sebuah kenyataan yang pahit itu. Kelihatan ada resah sedang memancar di wajah Zack. Pastinya Zack tidak senang dengan wujudnya golongan yang berani mati. Aku sendiri tidak rela mati dalam peperangan atau dengan cara apa sekalipun. Sungguh mendalamnya cinta pemuda-pemuda Islam itu pada agama dan pada Tuhan mereka. Aku bagaimana? Cintakah aku pada agama Yahudi ini? Seolah-olah tiada sebab untukku jatuh cinta. Bagaimana aku boleh jatuh cinta pada agama dan Tuhan sedangkan di dalam Talmud Tuhan sendiri bersifat seperti manusia yang lemah, dan bagaimana pula aku boleh jatuh cinta pada agama sedangkan ia telah membentuk dan melahirkan manusia yang kejam, bongkak, menipu, rakus, dan tidak berperi kemanusiaan. Aku tidak tahu, bagaimana aku boleh terfikir hingga begini. Sahabat-sahabatku yang lain tidak pernah mempertikai perkara ini. Kini, hari demi hari keraguanku terhadap agama dan kitab suci Talmud mula menyelimutiku. Kalaulah orang lain tahu tentang pendirianku ini, pastinya aku akan dibunuh. Itulah hukuman bagi bangsa Yahudi yang menolak ajaran kitab Talmud.

"Tuk,tuk!" Pintu bilik diketuk. Terdengar suara ibu memanggil.

"John, mari makan, semua orang sedang menunggu. Berhentilah sebentar, mata dan otak perlu berehat juga."

"Makanlah dahulu, saya masih belum lapar."

Semenjak kebelakangan ini memang aku lebih suka berkurung di dalam bilik. Sebagai seorang mahasiswa yang cemerlang dalam bidang bahasa, aku telah diberi tugas untuk mengkaji al-Quran dan mencari kelemahan-kelemahannya untuk dikeluarkan. Semua ini tiada tujuan lain selain untuk menghancurkan umat Islam. Begitu aku menjadi orang penting dalam misi ini. Masaku kuguna sepenuhnya menghafaz kitab Talmud dan mengkaji kitab al-Quran. Diriku makin gelisah apabila kekurangan dan kelemahan di dalam al-Quran ini masih belum kutemui, malah sedikit sebanyak aku mula tertarik dengan isi kandungannya. Sungguh berlaku pertempuran yang nyata di antara al-Quran dan Talmud. Persoalan demi persoalan bermain difikiranku. Benarkah roh bangsaku ini daripada roh Tuhan? Begitu kitab Talmud ini meletakkan Yahudi tersangat mulia hinggakan bangsaku dikatakan daripada roh Tuhan sedangkan manusia lain daripada roh najis. Oh Tuhan, aku semakin keliru. Siapa sebenarnya aku? Siapa sebenarnya Islam, dan siapa sebenarnya Yahudi? Aku sendiri tidak pasti, Tuhan yang mana satu aku seru. Tuhan Yahweh, atau Tuhan Allah, atau di sana ada Tuhan yang lain? Oh Tuhan yang sebenar-benar Tuhan, keluarkanlah aku dari alam yang membelengu ini, dan tunjukkanlah aku jalan yang benar.

III

Suasana di hospital begitu sesak. Aku terus berjalan mengikut kaki melangkah. Aku tertarik untuk memasuki wad bersalin itu. Terdengar suara tangisan bayi berteriakan. Kelihatan dua orang bayi telah dilahirkan pada waktu yang sama. Kedua-duanya diletakkan di dalam bilik khas, mungkin untuk rawatan lanjut. Tertera di dinding katil sekeping kad kecil, tertulis nama mereka. "John Ezekiel". Eh, nama itu seperti namaku. Kulihat pula pada katil bayi sebelahnya. "Muhammad Umar". Muhammad? Pasti dari keluarga Islam. Seperti pernah dengar nama ini. Oh, ya! Sama seperti nama Nabi Muhammad, nabi yang menjadi kebencian bangsaku kerana Muhammad bukan dari bani Israil. Dia tidak layak untuk dimuliakan. Selayaknya nabi akhir zaman itu dari kalangan bani Israil. Terlihat seorang jururawat mengambil bayi-bayi itu untuk dipulangkan kepada kedua ibu apa mereka. Eh, kenapa jururawat itu berikan Muhammad kepada Mr.Jacob dan isterinya. John pula diberikan kepada keluarga Islam itu. Eh, pasti jururawat itu telah tersilap. Ini satu kesilapan yang besar! Aku ingin menjerit menegur tindakan jururawat yan salah itu, malangnya suaraku tidak keluar. Terdengar sayup-sayup dari kejauhan ada suara memanggilku dengan cemas.

"John! John!"

Aku tersedar. Hah, mimpi rupanya aku ni. Kulihat adikku Sarra berdiri dihujung katil. "Kenapa menangis ni?" aku soal kehairanan.

"John, ibu dan ayah kemalangan! Cepat siap, kita ke hospital sekarang."

Sarra bersuara cemas. Dalam keadaan fikiranku masih terbayang-bayang mimpi yang agak pelik tadi, aku bergegas siap untuk ke hospital. Bagaimanakah agaknya ayah dan ibu. Harap-harap tiada apa-apa yang berlaku.

"Adakah awak anak angkat Mr.Jacob?"

Doktor memandang tepat wajahku menanti jawapan.

"Eh, saya ni anak kandungnya doktor! Kenapa doktor soal begitu?" aku bingung.

"Mustahil. Awak tidak boleh mendermakan darah kepada mereka, kerana kedua-dua darah mereka berjenis "O" sedangkan awak berdarah "A".

Tersirap darahku mendengar penjelasan doktor. Benarkah semua ini. Mana mungkin doktor itu boleh tersilap. Aku pulang dengan perasaan sedih berbaur hampa. Ayah dan ibu tidak dapat diselamatkan. Kurasakan hidup ini kelam dan tidak bermakna lagi.

Diriku seperti diawang-awangan. Masih terkejut dengan apa yang berlaku. Kalau aku bukan dari darah daging mereka, jadi aku anak siapa? Tiba-tiba fikiranku teringatkan mimpi tempohari. Adakah aku Muhammad? Seorang bayi kecil yang dibesarkan oleh keuarga Yahudi. Itukah aku? Oh Tuhan, inikah petunjuk dariMu yang kupinta? Hari demi hari jiwa dan perasaanku berbisik penuh keyakinan bahawa diriku adalah Muhammad dan aku adalah berasal dari keluarga Islam. Aku dapat rasakan bahawa mimpi itu adalah satu petunjuk dari Tuhan. Jika tidak, masakan aku bermimpi tiga kali berturut-turut perkara yang sama. Hari demi hari, waktu demi waktu kucuba koreksi diri, kuimbas kembali, dan kucuba beranalisis. Ya, mungkin suara azan yang pernah bergema di telingaku suatu masa dulu menyebabkan hatiku begitu mudah tersentuh apabila membaca ayat-ayat al-Quran. Namun oleh kerana aku telah diasuh sejak kecil dengan ajaran kitab Talmud, aku menjadi seorang yang ganas dan tidak berhati perut. Kitab Talmud telah memaksa jiwaku yang halus ini menjadi kasar dan kejam. Bicara Kitab Talmud yang sangat jauh dari nilai kemanusiaan itu tidak membenarkan akal dan hatiku untuk membenarkannya. Syurga hanya untuk orang-orang Yahudi? Diamana keadilan Tuhan jika hanya bangsa Yahudi sahaja yang boleh memasuki syurga? Oh, betapa Talmud telah merendahkan Tuhan… Katanya Allah menyesal kerana membiarkan kaum Yahudi dalam kesengsaraan selama ini. Kenapa Tuhan ada melakukan kesilapan? Kenapa?!

Kuambil al-Quran di atas meja itu. Al-Quran yang selama ini menjadi teman siang dan malamku. Quran yang aku bedah untuk merosakkan akidah umat Islam. Namun hakikatnya al-Quran ini yang telah membedah hatiku, dan mengeluarkan segala barah hitam didalamnya. Terasa hati berdegup kencang dan jari -jemariku terketar-ketar. Mungkin sentuhan kali ini bukan lagi untuk membongkar dan mencari-cari kelemahan, akan tetapi sentuhan kali ini untuk kudakap dan untukku memenifistasikan ajarannya. Terasa air jernih mengalir laju ke pipi tanpa dipinta. Tuhan terasa dekat dihati.

IV

Pagi membuka tirai. Terdengar kicauan burung keriangan seiring dengan kerianganku menemui kebenaran. Matahari mula menyapa menyinari bumi. Cahayanya memancar indah seakan-akan mengucap selamat datang kepadaku. Hari ini aku adalah Muhammad, bukan lagi John. Hari ini juga tiada lagi ratapan dan tangisan. Jika dulu aku pejuang agama Yahudi, tapi hari ini aku adalah pejuang Islam. Akanku balas dendam umat Islam terhadap bangsa Yahudi yang keji itu. Dan akanku balas dendam terhadap "kitab Talmud" yang begitu dendam dengan umat Islam. Kitab yang pernah membelenggu hidupku dan telah menghancurkan kehidupan manusia sejagat. Sama sekali aku tidak akan membenarkan pembinaan Haikal Sulaiman di atas runtuhan Masjidil Aqsa. Terdengar suara Umar memanggil dari jauh. Ya, dialah John Ezekiel yang sebenar. Dia lebih bertuah kerana terlebih dahulu mengenal Tuhan dan Islam daripadaku.

"Muhammad , bersedia, musuh sudah tiba!" Aku mengangkat senjata lantas lari mara kehadapan.

"Allahhu akbar!"

Kanak-kanak Indigo




Novel ini telah saya selesai membacanya lebih kurang 3 tahun yang lepas.
Mengisahkan remaja-remaja luar biasa yang mempunyai deria ke-6. Watak-watak yang sangat menarik dan dirasakan hidup...Chen-Chung(penghafal al-Quran),Faruq(pakar serba tahu), mihrimah (pakar sains forensik), Ruzbihan(Pakar deria bahu), Rabiah(pakar kimia), dan isamu(pakarentomologi).
Pada mulanya saya ingatkan cerita ini cerita dongeng sepenuhnya kerana itu kali pertama saya mendengar istilah "remaja indigo". Jalan ceritanya amat menarik. Bagi saya, mereka yang berfikiran kreatif dan berpengetahuan luas sahaja yang mampu untuk membuat jalan cerita sedemikian.
Saya amat terkejut apabila melihat tajuk fokus Dewan Kosmik keluaran Februari 2009 yang bertajuk "Kanak-kanak Indigo". Setelah membaca artikel tersebut, barulah saya tahu bahawa istilah kanak-kanak/remaja Indigo ini benar-benar telah wujud. Betapa negara-negara barat mengambil cakna terhadap kanak-kanak luar biasa ini yang berada di negara mereka. Indonesia dan Singapura juga telah mewujudkan klinik dan sekolah khas untuk mereka yang bergelar indigo ini bagi memastikan kelebihan yang mereka ada dapat dimanfaatkan sebaiknya.
Istilah Indigo mula-mula diperkenalkan pada tahun 1982 melalui buku "Understanding Your Life Trough Colour" oleh Nancy Ann Tappe. Saya terfikir, adakah adik Adi Putra Abdul Ghani yang digelar Pakar matematiki itu juga dikalangan kanak-kanak Indigo? Begitu juga dengan Boriska dari Rusia yang mampu bercerita berkenaan kehidupan di Planet Marikh dalam usianya baru menjangkau 8tahun. Begitu juga adik Annisa dari Indonesia yang mampu berbicara dengan pelbagai bahasa ketika umur masih 5tahun dan Syeikh Sharifudin, kanak2 dari Afrika yang telah berjaya mengislamkan ribuan orang setelah mendengar ceramahnya...
Wallahu'alam... Hanya Allah yang mengetahui apa yang tidak kita ketahui...

Setenang Nil Mengalir...




Bismillah... Kerinduan kepada Mansurah mula mencengkam. Padahal baru beberapa bulan sahaja meninggalkan bumi itu... Inginku semadikan satu daripada seribu kenangan di sana...kenangan menelaah kitab ditemani Nil.

Sepanjang 5 tahun di Mesir, Nil telah menemani aku, Noreha, dan Ansoriah dalam mengkhadami isi kandungan kitab2 tebal kuliah. Nil telah menemani kami ber"studygroup" sepanjang bulan. Inilah antara episod dalam hidupku yang sukar untuk kulupai... Study group di tepi sungai Nil.
-sepanjang berada di Mansurah, banyak ilhamku telah kuterjemahkan ke dalam puisi2 yang jugak kebanyakannya kukarang di tepi sungai Nil..
-Usrah Soutul Mujahidah telah memperkenalkan aku satu rangkap lagu.. "setenang Nil mengalir, berlagu syahdu..." Kenangan bersama USM takkan kulupa..
-Aku ingin mendidik hati dan jiwaku supaya menjadi tenang dalam menongkah segala mehnah dan tribulasi dunia... setenang Nil mengalir... tenang yang menghiasi sabar, ikhlas dan redho atas segala ujian dari-Nya..


Thursday, June 10, 2010

Bismillah...
Ini adalah blog aku yang ke-2 tetapi namanya yg ke-3. Kembara sufi, beralih ke Rimba Sufi.. dan kini perkataan "sufi" dah kutinggalkan.. biarlah ianya hanya segar dalam hati dan mekar menghiasi kehidupan. Tak mampu nak menghidupkan blog ini supaya ianya benar2 jadi rimba sufi... Tak sempat nak menanam dedaun segar dan pohon2 rimba dalam ni..:).
KIFAH yang bermaksud juang atau perjuangan sudah lama tertanam dalam jiwa yang kerdil ini agar apabila berhadapan dengan sebarang ujian di dunia ini, maka KIFAH lah kata-kata semangat untuk aku terus bangun... berjuang untuk jadi hamba Allah yang taat dan bertaqwa...insyaAllah.. kerana... Kehidupan adalah sebuah perjuangan!